
DUNIA lakonan dan kelekatan industri hiburan sering kali dikaitkan dengan pengiktirafan serta trofi anugerah sebagai tanda penanda aras kejayaan s.eseorang anak seni.
Bagi sesetengah pelakon, trofi dan genggaman anugerah di pentas prestij dijadikan lambang keutamaan serta pengabsahan bakat untuk terus kekal relevan.
Namun, senario berbeza dapat dilihat pada figura popular, Zul Ariffin yang membuktikan bahawa impak seseorang pelakon dalam industri bukan sekadar bersandarkan kepada deretan trofi semata-mata, sebaliknya menerusi kualiti naskhah, penerimaan penonton, dan kematangan dalam memilih hala tuju kerjayanya.
Enggan obsesi mengejar trofi itu melingkar seperti kata bidalan, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran, Zul Ariffin, 40, berkongsi aspirasi dan relevansi semasa tentang dunia lakonan kepada wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Haikal Isa yang menjadi kian menjadi polemik sebilangan pemain industri termasuk anak wayang, peminat dan ‘orang’ produksi itu sendiri.
KOSMO! AHAD: Bila ada pelakon yang secara terang-terangan melahirkan rasa kecewa usai menonton filem lakonan sendiri, apa komen anda?
ZUL ARIFFIN: Saya bukan mahu mewakili mana-mana pelakon tetapi tiada pelakon dalam dunia ini yang akan rasa berpuas hati dengan apa hasil akhir kerja mereka.
Contoh macam dalam filem Pemuja Syaitan, kita jalankan kerja dalam filem tapi tak tahu shot apa yang akan digunakan penyunting atau pengarah.
Saya sendiri, di set penggambaran beria-ia tapi hujungnya nanti, keputusan tetap di tangan pengarah. Proses suntingan memang di luar bidang kuasa pelakon.
Apa yang pelakon macam saya buat adalah seni persembahan, tetapi pelakunya memang sensitif, kalau tidak, seseorang itu tak boleh jadi pelakon.
Pendekatan saya sebagai seorang pelakon mudah iaitu apa yang kita rasa tak semestinya orang lain rasa.
Bagaimanapun, kalau apa yang saya bagi di set tak memuaskan, saya akan tanya pengarah.
Jangan bercakap di belakang monitor begitu dan begini. Tak okey cakap tak okey, saya lebih daripada bersedia untuk buat ‘take’ lain. Tak perlu sugarcoat (sampaikan yang pahit agar tidak menyinggung orang lain).
Adakah menjadi satu perkara normal untuk seseorang pelakon berasa terkilan atau kecewa menonton drama atau filem lakonan sendiri pada tayangan perdana?
Berasa kecewa atau terkilan menonton lakonan sendiri pada malam gala (tayangan perdana), itu standard (perkara biasa).
Bila kita rasa semua benda dah buat, datang hari tayangan, kita kena let go (lepaskan) untuk orang lain menilai.
Itu memang luar bidang kuasa, semua orang. Sebab itu saya cakap, masa di set penggambaran, buat habis-habisan.
Melihat rakan artis mula berganjak ke depan dengan menjadi pengarah dan sebagainya, adakah itu memberi motivasi untuk melakukan perkara sama?
Bukan semua boleh buat. Macam Liyana Jasmay, dia bukan sahaja berbakat tetapi juga sangat-sangat passionate (ada minat yang kuat).
Semasa Liyana berlakon, saya masih ingat, waktu itu saya baru bertatih nak berlakon.
Apa yang dia lalui sejak kecil dalam industri, menang pelakon terbaik dan bekerja dengan orang-orang hebat pada usia muda, itu semua membuatkan dia layak untuk duduk di kerusi pengarah.
Semua orang ada debut masing-masing. Macam saya bekerja dengan arwah Labu untuk filem Malam Terlarang yang merupakan debut dia sebagai seorang pengarah.
Jadi pengarah ini, bukan kerja semata-mata kerana ia ada nilai dan elemen sentimental yang tak semua anak seni ada.
Nak jaga kebajikan dan motivasi semua orang di set bukan perkara mudah. Saya tak boleh buat semua itu.

Berbalik tentang komitmen sebagai seorang pelakon, sejauh mana anda bersedia untuk melakukan banyak ‘take’ demi mendapatkan hasil akhir yang baik?
Ramai pengarah salah faham tentang saya. Sebenarnya, saya tak okey dan tak marah kalau banyak ‘take’. Kalau dah dapat yang terbaik, barulah boleh balik dengan tersenyum.
Kalau tak nanti, saya sendiri yang terkilan sebab tak ‘memberi’ yang sebaiknya di set.
Objektif saya ketika di set, mahu sama-sama dapat terbaik. Terbaik untuk pengarah sunting, terbaik untuk orang tengok, jadi saya hidangkan yang terbaik.
Macam dalam industri kulinari, kalau sesuatu masakan itu kurang garam, kita tambah garam supaya rasanya seimbang.
Selain itu, saya juga percaya ada kemajuan daripada semasa ke semasa dalam apa jua bidang.
Namun, menjawab soalan tadi, buat masa sekarang, pengarahan bukan satu bidang yang saya nak terokai, tetapi siapa tahu, mungkin suatu hari nanti ia berubah.Kita tak tahu aturan Tuhan untuk diri kita.
Tahniah kerana filem lakonan anda dalam Malam Terlarang menerima 12 pencalonan pada Festival Filem Malaysia ke-35. Namun, ada sesuatu yang ‘missing’ apabila nama tercicir dalam senarai Pelakon Lelaki Terbaik. Ada perkara yang ingin dikongsikan?
Anugerah bukan ‘benda’ untuk yang saya kejar dalam kerjaya. Kalau ada, ada. Kalau tiada, pun tak apa, tetap alhamdulilah.
Menjawab soalan itu sebenarnya ia di luar bidang kuasa saya. Bukan saya seorang sahaja (tak tercalon). Sabri Yunus pun tiada (tidak tercalon).
Kita ada Jun Lojong untuk filem Polong, pun tidak dicalonkan. Kita tak tahu cara orang menghakimi, kita (memang) tak tahu. Bak kata orang kampung, ‘bok pigidah’. Nak pusing macam mana pun, saya punya pendapat, tetap pendapat saya. Bagi saya, tahniah kepada semua yang tercalon.
Yang masih belum (tercalon) termasuk saya, let’s go! (ayuh ke depan!). Kita buat lagi (baik) lepas ini, tiada masalah.
FFM35 juga memperkenalkan format penjurian baharu apabila juara kategori bakal ditentukan bekas pemenang trofi FFM yang lalu, apa komen anda?
Saya tahu tahu kenapa benda itu perlu. Bagi saya, saya bekerja bukan untuk pencalonan tapi untuk tontonan semua orang.
Saya kejar hasil terbaik dari masa ke masa, itu sahaja. Kalau kejar anugerah, itu memang dah ‘resipi’ untuk kecewa sorang-sorang.
Kalau menang anugerah nanti, tak bermakna seseorang itu paling terbaik dan tak boleh ditegur. Kita tetap buat kesilapan dan perbaiki mutu lakonan dari masa ke masa.
Bukannya dapat ‘tongkol’ (trofi), pengarah tak boleh tegur langsung. Menang anugerah memang indah, tapi ia datang dengan tanggungjawab dan bukan perihal yang perlu dikejar-kejar sangat.

Hari demi hari, anda lebih selesa melibatkan diri dalam projek filem berbanding drama. Adakah itu memang disengajakan atau bagaimana?
Sekarang saya sibuk dengan penggambaran filem Baling di Baling, Kedah.
Ini satu komitmen bukan kepalang, satu tanggungjawab yang perlu dilunaskan sebaik mungkin. Memang kena fokus.
Tentang drama, memang saya akui jarang terima tawaran sebab memang tiada masa untuk kerjakan.
Biarlah saya buat kerja satu per satu. Lebih menenangkan dan insya-Allah berkualiti.
The post Menang anugerah bukan ‘tiket’ tak boleh ditegur appeared first on Kosmo Online.



