Menang atau kalah tak perlu perlekeh pengundi

LocalPolitics
15 Jul 2026 • 8:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Menang atau kalah tak perlu perlekeh pengundi
Dalam sistem demokrasi, pengundi bukan sekadar individu hadir ke peti undi sekali dalam empat atau lima tahun.

SETIAP kali selesai pilihan raya, tumpuan bukan sahaja terarah kepada pihak menang atau kalah tetapi juga terhadap gelombang reaksi selepas pengumuman keputusan.

Ramai yang meraikan kemenangan dengan penuh kesyukuran, ada yang menerima kekalahan dengan hati terbuka dan tidak kurang juga mencari-cari punca pengundi berubah sokongan kepada parti lawan.

Pelbagai alasan diramal termasuk pengundi dikatakan terpengaruh kempen media sosial, termakan hasutan dan fitnah serta tidak memahami isu sebenar, atau pun gagal membuat pertimbangan rasional.

Beban kekalahan seolah-olah diletakkan di bahu pengundi dan bukan kesilapan calon atau parti bertanding.

Dalam sistem demokrasi, pengundi bukan sekadar individu hadir ke peti undi sekali dalam empat atau lima tahun.

Mereka ialah pemegang kuasa utama penentu hala tuju pentadbiran negara melalui saluran sah dengan hak memilih sebagai tunjang demokrasi wajib yang perlu dihormati semua pihak.

Atas sebab itu, apabila keputusan tidak menyebelahi mana-mana calon atau parti, tindakan bijaksana bukan mencari kambing hitam sebaliknya muhasabah diri.

Setiap keputusan pilihan raya membawa mesej yang mungkin penghargaan terhadap prestasi memberangsangkan ataupun teguran lantang ke atas kelemahan untuk diperbaiki segera.

Menyalahkan pengundi hanya merenggangkan hubungan parti dengan rakyat, selain memberi gambaran suara rakyat hanya dihargai apabila memihak kepada parti.

Tiada parti memiliki hak mutlak ke atas sokongan rakyat kerana kepercayaan tidak diwarisi automatik, sebaliknya dibina melalui kepimpinan berwibawa, prestasi, integriti dan keupayaan mentadbir.

Pilihan raya juga tidak sekadar menentukan pentadbir negara tetapi kayu pengukur sejauh mana setiap parti politik memahami aspirasi rakyat.

Pengundi ialah nadi demokrasi, dan suara mereka melalui peti undi wajar didengar, difahami serta dijadikan pengajaran.

Demokrasi matang lahir daripada keberanian mengakui kelemahan dan kesungguhan kembali meraih kepercayaan rakyat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved