Menang Johor, kukuhkan Anwar di Putrajaya - Anthony Loke

LocalPolitics
22 Jun 2026 • 9:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Menang Johor, kukuhkan Anwar di Putrajaya - Anthony Loke
Anthony Loke ketika berucap ketika Majlis Pengumuman Calon PRN Johor bagi PH di Bukit Gambir pada malam Isnin.

TANGKAK - Kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan penting bagi memastikan kestabilan politik negara serta mengekalkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, PH akan tetap meneruskan perjuangan dan berdepan mana-mana pihak yang enggan bekerjasama atau duduk semeja dengan gabungan itu pada PRN Johor.

Menurutnya, kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi PH akan digerakkan sebagai satu pasukan tanpa mengira calon daripada parti komponen iaitu PKR, DAP atau Amanah.

“Ada pihak yang merasakan mereka lebih kuat dan tidak mahu duduk semeja dengan kita. Maka PH akan lawan kerana semangat kita lawan tetap lawan.

“Daripada 56 kerusi ini, akan ada calon daripada Amanah, DAP dan PKR. Tidak kira siapa calon, kita akan undi semua calon PH,” katanya ketika berucap ketika Majlis Pengumuman Calon PRN Johor bagi PH di Bukit Gambir di sini, pada malam Isnin.

Anthony berkata, DAP menampilkan kombinasi calon berpengalaman dan muka baharu termasuk golongan muda serta wanita bagi memperkukuhkan peluang kemenangan PH.

Menurutnya, DAP mempertaruhkan 17 calon dengan lapan daripadanya wanita, manakala calon termuda berusia 28 tahun.

“Kita percaya kepada kepimpinan wanita dan ramai juga dalam kalangan anak muda yang diketengahkan.

“Kita mempunyai kombinasi calon yang berpengalaman, berwibawa dan mempunyai kredibiliti tinggi. Kesemua 56 calon ini akan masuk gelanggang sebagai satu pasukan yang kuat,” katanya.

Beliau menegaskan, kemenangan PH di Johor bukan sahaja penting untuk negeri itu, malah memberi impak kepada kestabilan kerajaan Persekutuan.

“Kenapa kemenangan di Johor penting? Kerana ia berkait rapat dengan kestabilan di Putrajaya.

“Jika hendak Anwar terus kekal sebagai Perdana Menteri, kita perlu menang di Johor,” katanya.

Tambah beliau, selepas lebih tiga tahun pentadbiran kerajaan pimpinan Anwar, pelbagai perkembangan positif berjaya dicapai termasuk membawa lebih banyak pembangunan dan pelaburan ke Johor.

Katanya, hubungan baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan turut menjadi faktor penting dalam menarik keyakinan pelabur untuk terus melabur di negeri berkenaan.

“Di Johor banyak pembangunan yang berlaku hasil sumbangan kerajaan Persekutuan. Jika tiada hubungan yang baik, tidak mungkin begitu banyak pelabur dapat dibawa masuk ke Johor,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved