
KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memperoleh ganti rugi RM2.5 juta selepas menang dalam kes saman terhadap Mohd Rasyiq Mohd Alwi atau dikenali sebagai Ustaz Abu Syafiq berhubung vaksin COVID-19 yang dimuat naik di media sosial, tiga tahun lepas.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memutuskan demikian selepas membenarkan saman fitnah difailkan Khairy, 49, yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau selaku plaintif terhadap Mohd Rasyiq, 45, sebagai defendan.
Hakim itu turut memerintahkan defendan membayar kos RM50,000 kepada plaintif.
Pada 25 Januari 2022, Khairy menyaman Mohd Rasyiq atas dakwaan memfitnahnya dengan membuat beberapa kenyataan fitnah termasuk menyiarkan tiga video dan gambar di Instagram 'Ustaz Abu Syafiq' pada 20 Oktober 2021 serta pada 6 dan 10 Januari 2022.
Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa dirinya telah diberi vaksin COVID-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi.
Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati kenyataan yang disangkal itu, dalam maksud semula jadi dan biasa, mengaitkan kelakuan tidak bermaruah atau memburukkan nama serta kekurangan integriti kepada plaintif.
"Akibatnya kenyataan ini cenderung untuk merendahkan reputasi plaintif pada pandangan masyarakat, mempunyai kesan buruk dan langsung kepada reputasi beliau dalam kerajaan, dan mendedahkannya kepada kebencian, penghinaan, cemuhan atau penghindaran oleh masyarakat.
"Kenyataan ini sememangnya merosakkan reputasi menteri dan peribadi plaintif. Oleh itu, saya bersetuju dengan plaintif selepas menyemak keterangan dan dokumen diberikannya, menunjukkan bahawa kenyataan tersebut tidak dapat dinafikan adalah palsu, tidak berasas dan tidak wajar," katanya.
Hakim berkata mahkamah turut menerima keterangan plaintif, termasuk dakwaan keperluan dos ketiga vaksin untuk umat Islam di Malaysia yang menunaikan umrah adalah benar, kerana ia sepadan dengan peraturan Arab Saudi bagi mereka yang menerima vaksin Sinovac atau Sinopharm.
"Plaintif tidak membincangkan keperluan jenama vaksin spesifik untuk umrah atau haji. Pada sidang media 28 Disember 2021, plaintif menekankan hasrat Kementerian Kesihatan untuk bekerjasama dengan syarikat pelancongan yang menguruskan pakej umrah bagi memastikan semua rakyat Malaysia yang mahu menunaikan umrah mendapat dos penggalak mereka.
Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin berkata berhubung kenyataan fitnah kedua, keempat, kelima, keenam, ketujuh dan kelapan, mahkamah mendapati plaintif telah divaksin sebanyak dua kali dan menerima dos penggalaknya, seperti yang disahkan oleh PW2 (bekas Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah).
Beliau berkata mengikut keterangan plaintif telah menawarkan diri untuk mengambil bahagian dalam kajian tidak rasmi untuk mengukur tahap antibodinya selepas menerima dos ketiga, kerana beliau pada mulanya diberi vaksin Sinovac pada 18 Mac 2021 dan kemudian diberi vaksin Pfizer (Comirnaty) pada 4 September, tahun yang sama dengan dos ketiganya.
Sementara itu Khairy ketika ditemui media, bersyukur dengan keputusan yang memihak kepadanya.
"Saya sangat tertarik dengan hujah hakim, beliau sebut ini (kenyataan fitnah) bukan sahaja menjejaskan kredibiliti saya (ketika menjawat Menteri Kesihatan), tetapi juga menjejaskan kredibiliti semua pihak terlibat terutama petugas barisan hadapan dalam usaha kita memerangi COVID-19.
"Ini bukan sahaja kemenangan buat saya tetapi juga pengiktirafan terhadap usaha Kementerian Kesihatan (KKM) dan semua yang terlibat membebaskan Malaysia daripada pandemik itu," katanya. - BERNAMA

