“Korek tabung vaksin le jawabnya” – Respon Ustaz Abu Syafiq Lepas Diperintah Bayar RM2.5 Juta Kepada KJ

Entertainment
18 Apr 2025 • 4:53 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Pendakwah bebas, Ustaz Abu Syafiq diperintahkan untuk membayar RM2.5 juta kepada Khairy Jamaluddin susulan kenyataan berunsur fitnah berkaitan status vaksin Bekas Menteri Kesihatan itu.

Perkara itu diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas membenarkan saman yang dikemukakan Khairy, terhadap Abu Syafiq, atau nama penuhnya Mohd Rasyiq Mohd Alwi.

Bersyukur dengan ujian

Susulan saman yang dikenakan itu, Ustaz Abu Syafiq mengucapkan rasa syukur dan menganggap keputusan terbabit sebagai satu ujian.

“Alhamdulillah untuk diri sendiri. Nak kena cari RM2.5 juta pula.

“Korek tabung vaksinlah jawabnya. Ok nanti saya cari ya, syukur dengan ujian,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

Menerusi hantaran berasingan, Ustaz Abu Syafiq memuat naik status seolah-olah keputusan yang dikenakan terhadapnya tidak adil.

image is not available

Terdahulu, media melaporkan pemfailan saman fitnah telah dilakukan Khairy selaku plaintif pada 25 Januari tahun 2022 terhadap Abu Syafiq atas dakwaan memfitnahnya dengan membuat beberapa kenyataan tidak benar termasuk menyiarkan tiga video dan gambar.

Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa dirinya telah diberi vaksin COVID-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi.

Sementara itu, Khairy memberitahu para pemberita bahawa keputusan itu bukan hanya kemenangan untuknya tetapi juga untuk barisan hadapan yang telah berkhidmat semasa wabak itu.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.