
KUALA LUMPUR - Satu ketika dulu, beliau pernah mengharumkan nama negara menerusi sumbangan sebagai atlet renang paralimpik.
Kini, dia hanya sekadar menjual tisu dari atas kerusi roda di kawasan tumpuan ramai.
Koh Lee Peng, baru-baru ini mencetus kebimbangan dan simpati ramai apabila dilihat menangis sewaktu mencari rezeki berhampiran pusat beli belah mewah Pavillion Bukit Bintang.
Menerusi satu video yang dikongsi di Facebook, Lee Peng dilihat berada dalam keadaan penuh emosi.
Menurut hantaran tersebut, beliau dikatakan telah menjual tisu di luar pusat beli-belah itu sejak beberapa waktu lalu sebagai usaha menyara kehidupannya.
Hantaran sama turut menyorot latar belakang beliau sebagai bekas atlet negara yang pernah mewakili Malaysia dalam kejohanan serantau termasuk ASEAN Para Games, selain dilaporkan meraih beberapa pingat sepanjang kerjayanya.
Difahamkan, selepas bersara daripada arena sukan kompetitif, beliau berdepan cabaran kewangan dan masalah peribadi.
Di ruangan komen, ramai meluahkan kebimbangan terhadap keadaan emosi bekas atlef itu, dengan sesetengah pengguna berpendapat beliau mungkin terlalu tertekan sehingga mengalami gangguan emosi di tempat awam.
“Tiada siapa tiba-tiba menangis di jalanan melainkan mereka benar-benar tertekan. Apa yang berlaku sehingga dia jadi begini? Dia sebelum ini seorang yang kuat,” tulis seorang pengguna media sosial.
Sementara itu, terdapat juga dakwaan bahawa kerusi roda bermotor miliknya rosak selepas dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang melalui kawasan berkenaan, namun perkara tersebut masih belum dapat disahkan.
Insiden berkenaan turut mencetuskan perbincangan dalam talian mengenai usaha membantu bekas atlet itu, termasuk cadangan mengumpul dana bagi membaiki atau menggantikan kerusi rodanya sekiranya perlu.
Rakaman video terbabit dapat ditonton menerusi pautan ini: https://www.facebook.com/reel/1503492408073277 — Getaran 12 Mei 2026

