Menara Ilham milik keluarga Daim disita sekali lagi

LocalPolitics
5 Jun 2025 • 5:00 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendapat kebenaran untuk menyita Menara Ilham milik keluarga bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, di Jalan Binjai, di sini, sekali lagi.

Bangunan 60 tingkat itu pernah disita pada Disember 2023 di bawah Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah.

SPRM dalam kenyataannya hari ini memberitahu, ia mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk berbuat demikian.

Jelasnya, sitaan itu dibuat berdasarkan Notis Penyitaan Harta Tak Alih mengikut Seksyen 51(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) bertarikh hari ini.

“Menerusi Notis ini, kebenaran sitaan ini dibuat berdasarkan kuasa yang diberikan kepada Pendakwa Raya mengikut Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) di mana Timbalan Pendakwa Raya berpuas hati dengan maklumat diberikan oleh Pegawai SPRM bahawa ia berkait dengan suatu kesalahan di bawah subseksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001,’’ katanya.

Sehubungan itu, katanya, bangunan Menara Ilham diperintahkan disita oleh Pegawai Penyiasat SPRM dan segala urusan berhubung pindah milik harta tidak alih berkenaan kini adalah dilarang dan kegagalan untuk mematuhi Notis ini merupakan suatu kesalahan di bawah AMLATFPUAA 2001.

Menara Ilham yang berketinggian 274 meter itu siap dibina pada 2015.

Ia menempatkan menempatkan hotel empat bintang, pejabat rasmi, galeri, medan selera serta kedai cenderamata, manakala sebanyak 33 tingkat untuk kegunaan pejabat dan selebihnya adalah apartmen.

Pada Selasa, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan SPRM membekukan tujuh hartanah dan satu akaun bank bernilai 132 juta pound Britain (RM758.2 juta) milik isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga.

Tiga kediaman mewah dan dua bangunan komersial di London antara aset dibenarkan dibekukan.

Perintah itu diberikan Hakim Azhar Abdul Hamid selepas membenarkan permohonan dikemukakan pada prosiding secara ex-parte.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, tindakan tersebut diambil bagi mengelakkan harta tersebut dilupuskan. - 5 Jun, 2025