Kota MADANI bukan kota Anwar, tapi untuk rakyat – PKR

LocalPolitics
5 Jun 2025 • 7:09 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kota MADANI bukan kota Anwar!

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Sivamalar Genapathy menegaskan bahawa Kota MADANI di Putrajaya bukan milik Datuk Seri Anwar Ibrahim, bukan projek untuk golongan elit dan jauh sekali daripada gejala pencakar langit seperti yang berlaku pada era kerajaan-kerajaan sebelum ini.

Tegas beliau, Kota MADANI bukan sekadar nama atau slogan, sebaliknya merupakan penyelesaian konkrit kepada isu legasi perumahan awam di Putrajaya yang telah lama terbengkalai tanpa tindakan.

image is not available

Beliau turut menolak dakwaan dan tohmahan yang dilemparkan oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dan menyifatkannya sebagai cubaan politik lapuk yang tidak bersandar pada fakta.

image is not available

Kota MADANI bukan kota Anwar Ibrahim

Menurut Sivamalar, Laporan Ketua Audit Negara 2021 menunjukkan bahawa hampir 18,000 penjawat awam masih berada dalam senarai menunggu untuk menduduki kuarters kerajaan. Namun, tiada pembangunan kuarters baharu telah dilakukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Sehubungan itu, katanya, Kota MADANI akan menyediakan 10,000 unit yang dikhaskan sebagai kuarters untuk penjawat awam dan boleh menempatkan sehingga 30,000 penduduk.

“Ini bukan sekadar angka tetapi ia adalah komitmen sebenar untuk memenuhi hak dan keperluan mereka yang selama ini menjadi tulang belakang pentadbiran negara dan menyelesaikan isu ketidakseimbangan permohonan kuarters oleh penjawat awam dengan jumlah sebenar kuarters yang tersedia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, dari segi reka bentuk dan perancangan, Kota MADANI menawarkan model pembangunan bandar yang inklusif dan mampan.

image is not available

Ia merupakan sebuah bandar yang direka untuk memudahkan kehidupan seharian rakyat, dengan semua kemudahan asas seperti sekolah, kedai runcit, perbankan, tadika, medan selera dan dewan komuniti boleh dicapai dalam jarak jalan kaki tidak melebihi 15 minit dari kediaman.

Langkah ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan, malah mampu meningkatkan kualiti hidup penduduk dan melengkapkan ciri bandar bersifat “walkable city” yang moden dan mesra rakyat.

image is not available

Sivamalar dalam pada itu menyelar kenyataan Wan Saiful yang menurutnya tidak berlandaskan kepentingan rakyat.

“Kenyataan YB Wan Saiful hanyalah satu lagi percubaan politik lama yang cuba menggagalkan usaha pembaharuan kerajaan.
“Sekiranya beliau benar-benar peduli terhadap kebajikan rakyat, seharusnya beliau menyokong projek yang menyelesaikan masalah perumahan penjawat awam dan pekerja bandar, bukannya menabur fitnah dan memburukkan inisiatif yang membawa manfaat besar kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata politik sinikal dan retorik tanpa fakta tidak lagi mempunyai tempat dalam landskap Malaysia baharu.

“Politik sinikal dan retorik tanpa fakta seperti ini sudah lapuk dan tidak lagi relevan dalam landskap Malaysia baharu yang mahu maju ke hadapan dengan dasar yang adil, saksama dan menyeluruh,” ujarnya.

image is not available

image is not available

Sivamalar menegaskan, Kota MADANI bukanlah projek retorik semata-mata, sebaliknya merupakan bukti bahawa kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berusaha menyampaikan penyelesaian konkrit kepada masalah sebenar rakyat.

Sekadar info, Kota MADANI yang dirangka dengan integrasi teknologi kecerdasan buatan, infrastruktur digital cekap, serta sistem mobiliti hijau, bakal dibangunkan di Putrajaya.

Difahamkan, konsep pembangunan projek ini akan menekankan kemudahan asas yang menyeluruh dan berpusat demi kebajikan rakyat