Menara telekomunikasi Maxis di Kuala Kangsar terbakar

LocalTechnology
28 Dec 2025 • 3:50 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

Menara telekomunikasi milik Maxis di Kampung Kelebor, Kuala Kangsar terbakar, menyebabkan gangguan pada beberapa panel komunikasi

IPOH: Sebuah menara telekomunikasi milik Maxis di kawasan pencawang Sungai Perak, Kampung Kelebor, Kuala Kangsar terbakar pada petang semalam.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.36 petang.

Sebuah pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebuah menara telekomunikasi dilaporkan telah terbakar dan kebakaran dapat dilihat dari Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS),” katanya.

Anggota bomba mendapati alamat yang diberikan tidak tepat dan terperangkap dalam kesesakan lebuh raya.

Mereka mengambil masa kira-kira sejam untuk ke lokasi kerana ia terletak dalam kawasan hutan dan ladang sawit.

Bomba terpaksa menaiki kenderaan Hilux dan apabila sampai mendapati api telah padam sepenuhnya.

Shazlean berkata kebakaran itu dipadamkan dengan bantuan tuan tanah yang menggunakan alat pemadam api dan air tadahan.

“Kebakaran yang melibatkan sebahagian daripada menara itu menyebabkan beberapa panel komunikasi mengalami ganggu, termasuk Maxis,” katanya.

Siasatan lanjut diteruskan pagi ini.