
KUALA LUMPUR 9 Dis – TechStore Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Tech-Store Malaysia Sdn Bhd menerima kontrak bernilai RM89.7 juta daripada Prasarana Malaysia Berhad bagi membangunkan sistem radio digital dan komunikasi atas kenderaan untuk Laluan LRT Kelana Jaya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, kontrak tersebut melibatkan reka bentuk, pembekalan, pemasangan, integrasi, ujian dan pentauliahan sistem dengan tempoh penyelesaian dijangka 30 bulan dari tarikh notis projek dikeluarkan.
Laluan Kelana Jaya, salah satu rangkaian rel tersibuk di Lembah Klang, mencatatkan 84.7 juta penumpang pada 2024, meningkat daripada 73.8 juta pada 2023.
Pengarah Urusan TechStore, Tan Hock Lim berkata, syarikat berasa amat dihargai dengan keyakinan Prasarana terhadap kemampuannya dalam projek infrastruktur rel.
“Peningkatan ini akan memperkukuh komunikasi masa nyata dan memantapkan keselamatan serta kebolehpercayaan perkhidmatan LRT untuk rakyat.
“Prospek TechStore dijangka terus kukuh, disokong oleh Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030) dan Belanjawan 2026 yang memperuntukkan lebih RM12 bilion untuk pemodenan pengangkutan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehingga 30 September 2025, TechStore mempunyai baki pesanan belum ditagih sebanyak RM106.6 juta, manakala buku tender syarikat meningkat kepada RM1.9 bilion, mencerminkan permintaan kukuh untuk projek kereta api dan penyelesaian IT sektor kerajaan.
TechStore disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 18 Februari 2025 dengan kod saham TECHSTORE/0343 dan sebelum ini telah terlibat dalam projek sistem telekomunikasi MRT Kajang, sistem AFC & EAC LRT3, serta sistem bas bersepadu Pulau Pinang.
TechStore menyediakan penyelesaian IT dan automasi untuk sektor pengangkutan, utiliti, hospitaliti, logistik dan keselamatan.
Kepakaran syarikat termasuk transformasi digital tanpa pengubahsuaian besar, serta sokongan menyeluruh untuk projek berskala besar. - DagangNews.com

