Menara Telekomunikasi Maxis Terbakar, Liputan Beberapa Kawasan Di Kuala Kangsar Terjejas

LocalTechnology
29 Dec 2025 • 9:57 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan sebuah menara komunikasi milik Maxis yang menempatkan peralatan stesen pemancar CelcomDigi dan Maxis di Kampung Kelebor, Kuala Kangsar, Perak, terbakar petang tadi.

Menara Maxis terbakar hingga jejaskan akses komunikasi

Menurut laporan Harian Metro, kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.50 petang itu menyebabkan gangguan liputan perkhidmatan telekomunikasi, khususnya melibatkan pengguna CelcomDigi, Maxis dan Unifi Mobile di beberapa kawasan sekitar.

image is not available

Antara lokasi terjejas termasuk Kampung Kelebor, Kampung Langkap Ketior, Kampung Rambai 7, Kampung Menora, Kampung Senggang, Kampung Ulu Kenas serta Kampung Lempor.

Artikel lain: Padah Curi Kabel, Lelaki Melecur Terkena Renjatan Elektrik

Selain itu, liputan komunikasi di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak di Lebuhraya Utara–Selatan yang berhampiran turut terkesan.

Menurut MCMC, punca kebakaran menara berkenaan masih belum dikenal pasti dan kini dalam siasatan pihak berkuasa. Akses ke lokasi kejadian telah ditutup bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh agensi terlibat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan berkaitan untuk melaksanakan tindakan pembetulan segera, termasuk merangka pelan pemulihan menyeluruh bagi mengurangkan kesan gangguan liputan kepada pengguna,” katanya.

image is not available

Dalam masa sama, MCMC turut mengaktifkan langkah kecemasan dengan menyediakan penyelesaian sementara melalui kemudahan WiFi satelit Starlink di R&R Sungai Perak (arah utara) bagi memastikan pengguna lebuh raya masih mempunyai akses komunikasi.

Tambah kenyataan itu, pemilik menara serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi turut diarahkan untuk memperketatkan kerja penyelenggaraan, pemeriksaan teknikal dan pemantauan berterusan di semua menara komunikasi demi memastikan kebolehpercayaan rangkaian serta keselamatan pengguna terjamin.

Sumber: Harian Metro (Ilah Hafiz Aziz)

The post Menara Telekomunikasi Maxis Terbakar, Liputan Beberapa Kawasan Di Kuala Kangsar Terjejas appeared first on Borak Daily.