MERAK Jalanan terkejut juga apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan ramai wanita jadi mangsa penipuan berbanding lelaki.
Menurut Saifuddin, data kementerian, wanita lebih cenderung menjadi mangsa penipuan berbanding lelaki dengan nisbah enam daripada setiap 10 mangsa ialah wanita.
Katanya, kebanyakan mangsa terdiri daripada golongan bekerja di sektor swasta, manakala pelajar pula menyumbang sebahagian besar individu yang membenarkan akaun bank mereka digunakan sebagai akaun keldai.
Lebih mengejutkan, sebanyak 192,869 kes penipuan dalam talian direkodkan dari 2023 hingga Oktober tahun ini dengan jumlah kerugian mencecah RM7.33 bilion.
Sementara itu, Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerima sehingga 30,000 panggilan pada bulan lalu dengan purata 1,000 panggilan sehari.
Katanya, jumlah itu meningkat berbanding hanya 300 hingga 400 panggilan sehari sebelum penubuhan NSRC dan pengenalan talian hotline 997.
Jadi Merak Jalanan tertanya-tanya pada diri sendiri mengapa begitu mudah golongan wanita jadi mangsa penipuan.
Adakah kerana terlalu mengejar dunia materialistik hingga wanita hilang pertimbangan dan akal.
Jadi, golongan wanita kenalah ambil iktibar dengan data yang dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri itu.
Jangan mudah lagi terpedaya dan kenalah lebih berhati-hati pada masa akan datang.




