
KUALA LUMPUR - Selepas sebulan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) kosong, PAS hanya mahu teruskan perjalanan dan telah melancarkan jentera pilihan raya di beberapa negeri.
Justeru Penolong Setiausaha Agung PAS Pusat, Mohd Syahir Che Sulaiman menggesa semua pihak dalam PN melaksanakan gencatan senjata dan tidak menulis mengenai ‘hal-hal sulit’ secara terbuka.
“Jadi, ada baiknya kita di peringkat ‘operator’ ini, bersetuju untuk gencatan senjata. Silence is golden.
“Serahkan kepada pucuk pimpinan untuk mesyuarat ‘full-council’ segera.
“Jika kalian berpandangan TSMY (Tan Sri Muhyiddin Yassin) adalah Pengerusi PN yang masih ‘berkuatkuasa’, mudah sahaja, sila panggil mesyuarat segera,’’ katanya menerusi tulisan dalam Facebooknya.
Syahir turut menyeru supaya bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad dan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, agar berhenti daripada terus menulis mengenai isu dalaman PN.
“Mengapa perlu menulis hal ‘sulit’ secara terbuka? Ikutkan hati, mahu sahaja saya membalas, namun saya memilih untuk menahan diri.
“Justeru atas rasa hormat kepada kekanda Datuk Dr Marzuki dan Tun Faisal, permintaan saya, cukup-cukuplah menulis,’’ katanya.
Jawatan Pengerusi PN kosong selepas Muhyiddin meletak jawatan berkenaan berkuatkuasa 1 Januari lalu.
Baru-baru ini, Marzuki menerusi hantaran di Facebooknya mendedahkan kemelut dalaman PN, mengenai peranan PAS dan potensi Datuk Seri Hamzah Zainudin mengambil alih kepimpinan Bersatu.
Marzuki mendakwa, bagi PAS, masalah dihadapi PN akan selesai apabila Muhyiddin berundur sebagai pengerusi PN.
“Bagi PAS, masalah PN akan selesai apabila Muhyiddin berundur. PAS lantiklah orangnya sebagai Pengerusi PN. Tidak perlu lagi pinda perlembagaan PN," kongsinya. - 2 Februari, 2026
The post ‘Mengapa perlu menulis hal sulit secara terbuka’ pemimpin PAS gesa gencatan senjata appeared first on Scoop.

