PAS patut pimpin Perikatan Nasional demi kestabilan: bekas pegawai Muhyiddin

LocalPolitics
12 Jan 2026 • 9:47 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - PAS patut memimpin Perikatan Nasional (PN) demi kestabilan gabungan berkenaan di mana parti yang lebih kuat mesti memimpin.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Dr Marzuki Mohamad menyuarakan padangan berkenaan susulan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN berkuatkuasa 1 Januari lalu.

“Parti mana yang patut memimpin PN selepas ini? Bagi saya PAS.

“Soal orang bukan Islam boleh terima atau tidak kita tolak ke tepi dulu. Untuk kestabilan PN buat masa ini, parti yang lebih kuat mesti memimpin,’’ katanya dalam hantaran di Facebooknya.

image is not available
Marzuki Mohamad. - Gambar media sosial, 12 Januari, 2026

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang meminta PN mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT), bagi menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN dan melantik pengerusi baharu.

Katanya, panggilan mesyuarat tergempar itu selaras Fasal 8.3(l)(b) perlembagaan gabungan itu.

Hadi sebelum ini memaklumkan jawatan pengerusi PN adalah dalam kalangan ahli PAS dan bukan Bersatu.

Bagaimanapun Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau tidak melihat jawatan tertinggi itu diisi parti yang memiliki jumlah kerusi Parlimen terbanyak sebaliknya kemampuan pemimpin tidak kira daripada parti mana sekali pin.

Tegasnya, individu itu perlu sederhana, terangkum dan diterima semua lapisan masyarakat.

Mengulas lanjut, Marzuki berkata, apabila PAS memimpin Perikatan Nasional maka ia merupakan kali pertama dalam sejarah politik negara di mana sebuah parti Islam mengetuai gabungan nasional.

Sambil menyifatkan ia sebagai satu eksperimen baharu, beliau berkata pasti ada pihak yang gusar dan ada yang akan mengkritik.

“Sudah tentulah ada pihak yang bimbang. Ada pihak yang gusar. Ada pihak yang mengkritik.

“Ada masanya kritikan disampaikan dengan lembut. Ada masanya pedas. itu demokrasi.
Terima sajalah kritikan. Jangan label pengkritik dengan bermacam label.

“Berjaya atau tidak eksperimen ini? Saya tidak tahu. Malah, saya belum yakin. Apapun saya ucapkan selamat berjaya,’’ katanya. - 12 Januari, 2025

The post PAS patut pimpin Perikatan Nasional demi kestabilan: bekas pegawai Muhyiddin appeared first on Scoop.