Mengharap 'ubat' atasi krisis tenaga

LocalBusiness & Finance
28 Mar 2026 • 9:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Malaysia lebih terkawal berbanding negara jiran susulan krisis tenaga. Gambar hiasan

BUAT masa ini, keadaan Malaysia lebih baik berbanding negara jiran kecuali Singapura yang dikategorikan negara maju dan kaya.

Juga tidak termasuk Brunei, negara kecil dengan jumlah penduduk kurang 500,000 tetapi kaya hasil minyak.

Ini menjadikan negara tersebut tidak terkesan langsung dengan krisis tenaga berlaku ketika ini.

Filipina sudahpun mengisytiharkan darurat sehingga tular di media sosial mengatakan rakyat negara itu terpaksa berjalan kaki ke tempat kerja selain memperkenalkan tempoh empat hari bekerja bagi penjawat awam.

Sri Lanka pula menggunakan sistem kod QR mengehadkan pemilik kenderaan persendirian dibenarkan membeli hanya 15 liter bahan api manakala lima liter bagi motosikal seminggu.

Myanmar memperkenalkan sistem nombor pendaftaran ganjil dan genap membeli bahan api pada waktu tertentu dua kali seminggu.

Sementara Thailand menggalakkan suhu pendingin hawa dinaikkan dan kerja dari rumah sementara Pakistan menutup sekolah bagi mengurangkan permintaan terhadap tenaga.

Korea Selatan telah meningkatkan penggunaan arang batu dan tenaga nuklear sementara India menggalakkan kakitangan sektor teknologi maklumat membawa bekal makanan sendiri bagi mengurangkan guna tenaga di kafeteria.

Jepun mengeluarkan 80 juta tong minyak dari rizab negara dan China melarang pengeksportan minyak.

Indonesia pula meningkatkan subsidi minyak dan Vietnam menggunakan dana tabung penstabilan minyak dan Nepal menaikkan harga bahan bakar itu.

Malaysia pula meneruskan dasar sedia ada dengan memberikan subsidi petrol dan diesel secara bersasar dan sedikit penyelarasan semula dari segi kuota penggunaan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan.

Pengguna di Malaysia pada ketika ini kelihatan lebih tenang berbanding negara lain yang dilihat berada dalam fasa pembelian panik.

Mujur Malaysia tidak lagi melaksanakan pemberian subsidi petrol dan diesel secara pukal sejak September 2025 - sekurang-kurangnya tidak memberi impak besar apabila berlaku krisis.

Melalui mekanisme itu, petrol RON95 dikekalkan pada harga RM1.99 seliter dengan menggunakan kad pengenalan, sementara RON97 diapungkan mengikut harga pasaran.

Harga diesel turut diapungkan, namun subsidi terus diberikan kepada kenderaan persendirian dengan maksimum 50 liter, pengangkutan awam dan barang (maksimum 100 liter) serta kenderaan tiga tan (maksimum 150 liter).

Semalam, kerajaan mengumumkan had pembelian RON95 diselaraskan kepada 200 liter sebulan manakala penerima subsidi Diesel Individu dan kategori Agri-Komoditi naik kepada RM300.

Tidak dinafikan peningkatan harga bahan api memberi kesan kepada negara dan rakyat, namun kerajaan masih mampu meneruskan subsidi.

Tetapi masa akan datang kita tidak tahu sama ada masih mampu bertahan atau tidak dan bergantung kepada perang AS-Israel dengan Iran.

Jika berlarutan, sudah pasti kerajaan berhadapan cabaran besar untuk membiayai subsidi berikutan kedudukan kewangan negara belum kukuh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini jadi tumpuan utama mengemudi negara daripada krisis yang sedang melanda dunia.

Beliau dan pasukannya perlu terus menerangkan kepada rakyat langkah-langkah yang sudah, sedang dan akan dilakukan.

Langkah diambil memanglah tidak populis, ia sama seperti kaedah menyembuhkan penyakit dengan mengambil ubat dan lakukan pembedahan.

Jarang ada ubat rasanya sedap, sementara makanan manis seperti madu atau gula lebih memudaratkan serta boleh mengakibatkan gula meningkat selain mengundang diabetes.

Jadi, kita harap 'ubat' diberikan Anwar mampu menyembuhkan Malaysia dan mungkin pada masa akan datang dapat dikenang jasanya serta menutup kisah-kisah silam yang kini diungkit jadi bahan kritikan orang.

*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian