SHAH ALAM - Umat Islam diingatkan agar tidak menghina sahabat Nabi Muhammad SAW kerana perbuatan itu haram dan berdosa besar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, mencaci golongan sahabat Rasulullah bererti menghina insan yang menegakkan Islam bersama baginda.
“Menghina sahabat Nabi Muhammad SAW ialah haram dan berdosa besar. Mereka generasi terbaik, dipuji ALLAH SWT. Mencaci mereka bererti menghina insan yang menegakkan Islam bersama baginda,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada ucapan Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas menyentuh kisah kehidupan Saidina Umar al-Khattab dan Saidina Abu Bakar al-Siddiq sebelum memeluk Islam.
Isu berkenaan mencetuskan pertikaian di media sosial susulan dakwaan beberapa pihak yang mempersoalkan ketepatan fakta sejarah dalam ucapan beliau.
Malah, ramai warga maya menyifatkan kisah melibatkan para sahabat Rasulullah tidak sepatutnya dijadikan bahan ceramah politik atau dihuraikan tanpa rujukan yang jelas.
Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil menekankan kepentingan menjaga adab dan bahasa ketika berbicara.
Ujarnya, perkara tersebut merupakan sesuatu yang telah disepakati seluruh umat Islam dan tidak seharusnya dijadikan bahan senda atau hinaan.
“Perlu mempunyai kecermatan dalam penceritaan berkenaan para sahabat kiram (mulia). Kita sentiasa bersangka baik dengan setiap Muslim, kemungkinan dia tidak berniat sedemikian.
“Namun, ucapan yang boleh menimbulkan fitnah dan kebimbangan wajib diperbetulkan,” jelasnya.





