‘Menghina sahabat Nabi perbuatan haram, dosa besar’ – Dr Zulkifli Hasan

LocalPolitics
12 May 2026 • 3:40 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Dr Zulkifli Hasan beri peringatan bahawa menghina sahabat Nabi adalah haram dan berdosa besar dalam Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menegaskan bahawa perbuatan menghina sahabat Nabi Muhammad SAW adalah haram dan tergolong sebagai dosa besar dalam Islam.

Beliau berkata, para sahabat merupakan generasi terbaik yang dipuji Allah SWT sebagaimana disebut dalam Surah At-Tawbah ayat 100, selain menjadi golongan yang berjuang menegakkan Islam bersama Rasulullah SAW.

“Menghina sahabat Nabi SAW ialah haram dan dosa besar. Mereka generasi terbaik, dipuji Allah (At-Tawbah:100). Mencaci mereka bererti menghina insan yang menegakkan Islam bersama Nabi,” katanya menerusi kenyataan ringkas.

Kenyataan itu dipercayai susulan kontroversi membabitkan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh yang didakwa mengeluarkan kenyataan berkaitan beberapa sahabat Nabi ketika menyampaikan ceramah.

Baca juga:

Antara dakwaan yang tular termasuk kenyataan bahawa Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA kononnya merupakan ‘bapa ceti’ pada zaman jahiliah dan menjadi kaya kerana memeras golongan miskin.

Selain itu, beliau juga didakwa menyebut bahawa Saidina Umar al-Khattab RA pernah terlibat dengan perbuatan zina pada zaman jahiliah, termasuk dakwaan berzina dengan isteri orang dan anak dara.

PU Syed beri pandangan

Sementara itu, pendakwah, PU Syed berpandangan bahawa Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berkemungkinan tersilap fakta apabila mengaitkan sistem riba dengan Saidina Abu Bakar RA.

Menurutnya, sejarah yang lebih masyhur ialah berkaitan Saidina Abbas bin Abdul Muttalib RA sehingga dikenali dengan istilah ‘Riba Abbas’.

“Dalam isu sahabat sebelum Islam yang terkenal terlibat dalam sistem riba, YB Pasir Puteh telah terkhilaf antara Saidina Abu Bakar RA dengan Saidina Abbas bin Abdul Muttalib RA sehingga dikenali sebagai ‘Riba Abbas’,” katanya.

PU Syed turut menegaskan bahawa dakwaan terhadap Saidina Umar RA merupakan perkara berat dan perlu diperbetulkan sekiranya tidak mempunyai sumber yang sahih.

Beliau berkata, kesilapan fakta yang disandarkan kepada sahabat Nabi boleh membawa kepada penyebaran perkara tidak benar terhadap tokoh mulia Islam.

“Jika YB ada sumber, hadirkan sumber itu kerana kami tidak pernah jumpa mana-mana sumber yang mengaitkan perkara tersebut kepada para sahabat.

“Jika salah, akui kesalahan itu satu perkara mulia dan tidak ada kehinaan di sana. Ia boleh ditarik balik,” katanya lagi.

The post ‘Menghina sahabat Nabi perbuatan haram, dosa besar’ – Dr Zulkifli Hasan appeared first on The Reporter.

View Original Article