Menjaga kredibiliti lebih penting daripada kedudukan politik – Loke

LocalPolitics
11 Nov 2026 • 8:18 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Menjaga kredibiliti lebih penting daripada kedudukan politik – Loke

Bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegaskan bahawa prinsip menunaikan janji serta mempertahankan kredibiliti diri melebihi kepentingan mengekalkan kedudukan politik.

PUTRAJAYA: Prinsip menunaikan janji dan mempertahankan kredibiliti diri lebih penting daripada mengekalkan kedudukan dalam politik, kata bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata prinsip itu menjadi pegangan sepanjang perjalanan politiknya, terutama ketika berdepan keputusan sukar yang menuntutnya menunaikan janji dibuat secara terbuka.

“Saya telah meletakkan jawatan berkuat kuasa semalam. Satu keputusan yang jelas, ada kepastian dan tegas. Tiada sebarang kekaburan. Pendirian ini jelas,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Terdahulu, Loke tiba di pekarangan lobi MOT pada 10.04 pagi bagi menghadiri majlis perhimpunan berkenaan buat kali terakhir, selepas peletakan jawatannya yang berkuat kuasa semalam.

Loke turut menjelaskan prinsip menunaikan janji tetap perlu dipegang meskipun sukar, sebagaimana didikan bapanya yang sentiasa mengingatkan beliau supaya menepati setiap kata-kata dan janji yang dibuat.

Mengimbau kembali tempoh perkhidmatannya, Setiausaha Agung DAP itu menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen seluruh warga kementerian yang berjaya memacu pelbagai pembaharuan merentas sektor udara, maritim dan darat sepanjang empat tahun diterajuinya.

Bagi sektor udara, beliau menyifatkan penggabungan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sebagai satu langkah penstrukturan penting.

Beliau turut berbangga dengan inisiatif bantuan subsidi tiket penerbangan FLYsiswa yang dicetuskan tanpa peruntukan awal kementerian, namun kini diinstitusikan sebagai program tetap Belanjawan tahunan bagi meringankan kos pelajar institut pengajian tinggi.

Dalam sektor maritim, beliau berkata pencapaian Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan ke-10 tersibuk di dunia serta langkah berani menamatkan konsesi pengerukan kepada tender terbuka, sekali gus menyifatkan ia sebagai kejayaan signifikan dalam meningkatkan daya saing pelabuhan negara.

Mengenai pengangkutan darat dan rel, Loke memuji usaha pemulihan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menunjukkan lonjakan mendadak dari segi pendapatan dan jumlah penumpang. 

Beliau turut berpuas hati dengan peluasan perkhidmatan Bas.my ke seluruh ibu negeri, serta kemajuan kelangsungan projek mega seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Sistem Transit Aliran Ringan (RTS) Link.

“Saya berharap sedikit sumbangan saya dalam beberapa tahun menerajui MOT akan meninggalkan kesan yang positif untuk masa depan negara dan masa depan masyarakat,” katanya. 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved