
ISTANBUL – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke perlu menunaikan janjinya untuk meletakkan jawatan sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan dari penjara berikutan selesai membayar denda RM50 juta bagi menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Loke sepatutnya meletakkan jawatan serta-merta sekiranya Najib dibebaskan (dari Penjara Kajang untuk jalani hukuman tahanan di rumah) hari ini.
“Saya harap beliau akan menunaikan janjinya, saya berpendapat perkara ini bukan sekadar kenyataan politik.
“Beliau mesti berbuat demikian serta-merta sekiranya Datuk Seri Najib dibebaskan hari ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, UMNO mengesahkan sudah menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pagi tadi, sebagai syarat untuk Datuk Seri Najib Razak menjalani baki tahanan di rumah.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilapor berkata, jumlah kutipan dana melalui Tabung Solidariti Najib Razak, yang dilancarkan pada 18 September lalu untuk membantu bekas Presiden UMNO itu sudah pun mencapai sasaran dan mencukupi.
Pada 29 September lalu, Loke berkata, beliau sudah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun diminta untuk kekal memegang jawatan itu buat sementara waktu.
Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 jika beliau membayar denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM), memaklumkan ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim, yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
BHEUU dilapor berkata, bekas Perdana Menteri itu perlu mematuhi syarat yang ditetapkan dan jika beliau tidak mematuhi mana-mana syarat itu, pengampunan bersyarat berkenaan adalah terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara.
Najib sebelum ini menjalani hukuman penjara yang dikurangkan kepada enam tahun di Penjara Kajang selepas Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman asalnya selama 12 tahun pada Februari 2024.
Denda asal sebanyak RM210 juta turut dikurangkan kepada RM50 juta.
Beliau menjalani hukuman berkenaan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadapnya dalam kes rasuah SRC International pada 23 Ogos 2022.
Najib didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta milik SRC International, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Najib dibawa ke Penjara Kajang pada hari yang sama untuk memulakan hukuman, sekali gus menjadikannya bekas Perdana Menteri pertama yang dipenjarakan susulan sabitan kesalahan jenayah.
The post UMNO tuntut janji Anthony Loke appeared first on Kosmo Online.






