Menjawab Panggilan Dan Kongsi Internet Pada Peranti Android Lain Seakan iPhone Mula Diuji

TechnologyDigital
30 Jul 2024 • 6:22 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Perkara paling menarik dalam menggunakan peranti-peranti Apple adalah ekosistem. Setiap peranti sangat mesra berkomunikasi dengan peranti lain memudahkan pelbagai tugasan harian. Ciri lebih kurang sama untuk Android turut ditawarkan oleh Samsung dan Huawei tetapi bagaimana dengan peranti Android lain? Jawapannya dengan Android Cross-Device.

image is not available

Ciri ini sebenarnya telah diperkenalkan sejak tahun 2022 tetapi untuk peranti Android hanya Google Pixel dan Chromebook sahaja disokong. Kemas kini baharu membenarkan semua peranti Android 11 dan ke atas menjawab panggilan telefon dari satu peranti ke peranti lain serta berkongsi data Internet melalui ciri hotspot pantas.

Untuk menjawab panggilan telefon ini, ia masih terhad kepada panggilan video menerusi Google Meet sahaja. Ciri ini adalah Call casting, di mana panggilan video pada satu peranti kemudiannya boleh disiarkan ke skrin peranti lain.

image is not available

Seterusnya adalah perkongsian Internet iaitu Internet sharing. Apabila anda ada dua atau lebih dari satu peranti Android dengan akaun Google yang sama, data Internet pada Pixel 8 Pro misalnya boleh dikongsi ke Oppo Find N3. Ciri ini walau bagaimanapun tidak disokong pada peranti Samsung kerana sedia menyokong auto-hotspot.

Ciri ini dilihat masih dalam peringkat ujian melalui Google Play Services 24.28.34. Ia mungkin akan diedarkan kepada semua pengguna tidak lama lagi dan selepas ini pengguna Android tidak lagi perlu cemburu dengan ekosistem Apple yang tertutup kerana Android Cross-Device menyokong semua peranti Android asalkan ada Google Play.