Menjelang musim banjir! Belum ada kenaikan harga makanan mendadak – Mat Sabu

LocalPolitics
19 Nov 2026 • 4:39 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan bahawa kerajaan setakat ini belum menerima sebarang laporan berhubung kenaikan harga makanan secara mendadak menjelang musim banjir.

Menurut beliau, pemantauan akan terus dilaksanakan menerusi agensi berkaitan bagi memastikan sebarang perubahan harga dapat dikenal pasti lebih awal, sekali gus membolehkan tindakan segera diambil sekiranya berlaku peningkatan luar biasa.

“Kita akan dapatkan maklumat dari masa ke masa. Agensi-agensi kita akan mengambil maklumat dan kita akan bertindak dengan segera.
“Setakat ini, kita belum dapat maklumat berlaku kenaikan yang mendadak sekarang,” katanya.

Image from: Menjelang musim banjir! Belum ada kenaikan harga makanan mendadak – Mat Sabu

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengendalikan Forum Keterjaminan Makanan sempena Putrajaya Festival of Ideas (FOI) 2026 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Putrajaya, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, terdapat perubahan harga biasa bagi sesetengah barangan makanan, namun harga telur ketika ini menunjukkan sedikit penurunan berbanding kebiasaan.

Jelasnya, kementerian akan terus mendapatkan maklumat semasa, khususnya sepanjang musim banjir bagi memastikan situasi bekalan dan harga makanan berada dalam keadaan terkawal.

“Ada kenaikan biasa lah, tapi harga telur sekarang agak turun sikit daripada biasa.
“Jadi kalau berlaku musim banjir ini, kita akan dapat maklumat dan kita akan bertindak segera,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad menyentuh persediaan kerajaan menghadapi fenomena El Niño yang dijangka membawa cuaca panas melampau, dengan suhu berkemungkinan mencecah 40 darjah Celsius.

Jelas beliau, kementerian telah memberikan taklimat kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) supaya golongan petani dapat membuat persediaan lebih awal bagi menghadapi kemungkinan kesan fenomena tersebut terhadap sektor pertanian.

“Monsun biasa di Malaysia ini, tapi El Niño jarang berlaku. Dijangka tahun ini, El Niño mungkin temperatur sampai 40 darjah, itu November hingga April.
“Kita telah memberi taklimat kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), keadaan para petani supaya bersedia pada waktu itu dan kita akan bertindak bila melihat keadaan,” jelasnya.

Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan fenomena cuaca panas berkenaan turut memberi kesan kepada aktiviti perikanan khususnya membabitkan nelayan pesisir pantai.

Image from: Menjelang musim banjir! Belum ada kenaikan harga makanan mendadak – Mat Sabu

Tambahnya, peningkatan suhu boleh menyebabkan ikan bergerak lebih jauh ke tengah laut, sekali gus berpotensi mengurangkan hasil tangkapan dan menjejaskan pendapatan nelayan bot kelas A.

“Penangkapan ikan, perahu A yang tepi pantai ini mungkin akan terjejas bila cuaca panas, ikan akan pergi ke tengah.
“Jadi mungkin waktu itu pendapatan nelayan pantai akan terjejas. Kita akan lihat pada waktu itu,” kata beliau.

Bagaimanapun, Mohamad memberi jaminan bahawa bekalan ikan negara ketika ini masih mencukupi dan orang ramai tidak perlu bimbang mengenai kemungkinan kekurangan stok.

Beliau berkata, usaha memperbanyakkan simpanan ikan sejuk beku sedang dilaksanakan dengan penglibatan agensi berkaitan serta pihak swasta, termasuk mendapatkan bekalan tambahan dari Sabah.

“Buat masa sekarang, stok ikan sejuk beku kita perbanyakkan sama ada di pihak LKIM atau pihak swasta.
“Jadi buat masa sekarang, saya meletakkan jangan ada kebimbangan kekurangan ikan pada waktu itu. Sekarang ini stok kita setakat ini mencukupi.
“Ikan sejuk beku itu termasuklah kita akan bawa daripada Sabah, ikan di sana itu agak murah,” ujarnya lagi.
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved