
BAITULMUQADDIS: Menteri Keselamatan Kebangsaan Israel, Itamar Ben-Gvir terus menceroboh pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki rejim Zionis pada Isnin.
Beliau turut, melakukan ritual keagamaan dan secara terbuka menggesa pembinaan kuil Yahudi di tapak suci berkenaan.
Mendapat perlindungan ketat daripada pasukan penceroboh Israel, Ben-Gvir memasuki pekarangan berkenaan dengan diiringi beberapa rabbi Yahudi, pendatang haram dan anggota keselamatan.
Beliau memasuki pekarangan itu sebelum mengisytiharkan rancangan untuk mengubah status quo sejarah di tapak ketiga paling suci bagi umat Islam itu.
Ahli politik berfahaman pemisah haluan kanan itu telah berulang kali melakukan provokasi seumpama itu sebelum ini.
Agensi berita Palestin, Wafa, melaporkan bahawa Ben-Gvir bertindak melakukan ritual keagamaan dan berdoa di bahagian timur halaman masjid berkenaan.
Di bawah pendaftaran susunan status quo yang berkuat kuasa sejak 1967, mana-mana individu bukan Islam sama sekali tidak dibenarkan melakukan ritual keagamaan atau berdoa di situ, biarpun penganut Yahudi dibenarkan melawat pekarangan berkenaan.
“Semasa saya berumur 14 tahun, ibadat doa dilarang sama sekali dan sesiapa yang berbisik akan ditangkap.
“Hari ini kita menyaksikan satu penebusan. Ia sangat menyentuh perasaan untuk berada bersama anda hari ini,” kata Ben-Gvir semasa pencerobohan berkenaan, menurut wartawan Al Jazeera Arabic, Elias Karram.
Pemimpin parti radikal haluan kanan Jewish Power itu telah menceroboh pekarangan Masjid Al-Aqsa berulang kali sejak memegang jawatan pada 2022 hingga mencetuskan kecaman meluas di peringkat antarabangsa. – AGENSI
The post Menteri Israel ceroboh lagi kompleks Masjid Al-Aqsa appeared first on Utusan Malaysia.



