Menteri Keluarkan Morotorium Halang Struktur Konsert Di Stadium Nasional Bukit Jalil

7 Apr 2024 • 8:37 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Stadium Negara Bukit Jalil. - gambar Perbadanan Stadium Malaysia

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh telah mengeluarkan moratorium jangka pendek bagi menghalang penganjur konsert daripada memasang sebarang struktur di atas padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di sini.

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, berkata Yeoh membuat keputusan susulan post mortem dijalankan badan itu pada 1 April.

Post mortem itu diadakan bertujuan membincangkan keadaan padang di stadium semasa perlawanan antara Malaysia dan Oman semasa kelayakan bagi pusingan kedua Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027.

“Susulan daripada hasil post mortem, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengeluarkan morotorium jangka pendek

“Untuk menghalang sebarang pemasangan struktur pentas yang melibatkan persediaan konsert atas rumput sehingga kondisi rumput mencapi tahap yang baik,” kata PSM.

Menurut PSM, penganjur konsert telah dimaklumkan berhubung keputusan semasa dialog antara mereka dan menteri semalam.

“Penganjur masih boleh membuat tempahan, namun struktur atau menara pembesar suara di atas padang adalah dilarang.

“Ini bagi memastikan rumput di Stadium Nasional tidak terjejas dan berada dalam keadaan optimum untuk perlawanan bola sepak seterusnya.”

Isu kerosakan padang stadium nasional hangat diperdebatkan selepas Malaysia tewas 2-0 kepada Oman.

Perlawanan itu diadakan hanya sebulan selepas konsert penyanyi antarabangsa Ed Sheeran. – Getaran, 7 April 2024