
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menyatakan bahawa pihaknya telah melakukan perbincangan dengan syarikat telco bagi menurunkan harga perkhidmatan telekomunikasi di negara ini.
Menerusi FMT, beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta syarikat telco menjalankan satu kajian bagi memenuhi aspirasi rakyat yang inginkan perkhidmatan telekomunikasi lebih murah.

“Saya sedang bincang dengan SKMM dan telco apa yang boleh kita buat untuk kurangkan kos. Ramai anak muda harapkan harga internet dan talian lebih murah, jadi saya minta mereka kaji apa yang kita boleh lakukan sekarang.
“Mungkin dalam minggu yang akan datang saya ada pengumuman khas,” katanya dalam slot program ALFA yang bersiaran di Facebook Nasional FM.
Dalam pada itu, Fahmi juga kini sedang meneliti langkah terbaik untuk meningkatkan mutu perkhidmatan serta mengatasi isu capaian rangkaian 4G dan 5G di sesetengah kawasan di Malaysia.
“Kita sedang bercakap tentang 5G, ada negara lain dah mula bincang tentang 6G. Jadi, kita kena ada pergerakan yang lebih cepat dan sebagai menteri saya kena teliti apa yang boleh dilakukan untuk bantu proses itu,” katanya.
Sementara itu, Fahmi juga ingin mengingatkan kepada mana-mana content creator di pelbagai platform sosial media supaya menghormati undang-undang negara ini ketika berkarya.
“Ada batas-batasnya. Kita raikan hak untuk bersuara, raikan hak untuk berekspresi tapi kita perlu hormat undang-undang kerana ada di dalam Rukun Negara…keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang,” katanya.
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.


