
BEKASI – Cadangan memindahkan gerabak khas wanita ke bahagian tengah tren mencuri perhatian ramai susulan nahas tragis melibatkan kereta api di Stesen Bekasi Timur yang meragut sekurang-kurangnya 15 nyawa.
Tragedi membabitkan pertembungan kereta api jarak jauh (KAJJ) Argo Bromo Anggrek dengan tren komuter (KRL) itu bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam, malah mencetuskan perbincangan hangat mengenai aspek keselamatan dalam sistem pengangkutan rel di Indonesia.
Cadangan Gerabak Wanita Dipindah Ke Tengah
Menteri Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak (PPPA), Arifah Fauzi, menjadi tumpuan apabila mencadangkan agar gerabak khas wanita tidak lagi ditempatkan di bahagian hadapan dan belakang tren.
“Tapi dengan peristiwa ini, kita mengusulkan kalau bisa yang perempuan itu ditaruh di tengah,” katanya kepada wartawan selepas melawat mangsa di hospital, Selasa.
Menurut beliau, kedudukan gerabak wanita di bahagian hujung sebelum ini adalah bagi mengelakkan kesesakan, namun insiden tersebut menunjukkan keperluan untuk perubahan.
Arifah turut mencadangkan supaya gerabak di bahagian hadapan dan belakang diisi penumpang lelaki, manakala wanita ditempatkan di bahagian tengah bagi mengurangkan risiko sekiranya berlaku perlanggaran.
Sistem Keselamatan Jadi Keutamaan
Mengulas perkara itu, Menteri Koordinator Infrastruktur dan Pembangunan Wilayah, Agus Harimurti Yudhoyono, menegaskan bahawa isu sebenar bukan terletak pada jantina penumpang, sebaliknya kelemahan sistem keselamatan yang perlu diberi perhatian serius.
“Yang jelas, lelaki dan perempuan sama saja, tidak boleh menjadi korban dalam insiden apa pun,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kejadian tersebut sebagai luar biasa, memandangkan perlanggaran dari belakang melibatkan tren komuter dengan kereta api jarak jauh jarang berlaku.
Tambahnya, keutamaan kerajaan kini adalah memastikan sistem pengangkutan awam benar-benar selamat, bukan sekadar slogan.
Dalam masa sama, Komite Nasional Keselamatan Transportasi (KNKT) akan menjalankan siasatan menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
“Saya minta transparan, terbuka dan boleh dijelaskan kepada publik kerana ini juga melibatkan aspek edukasi,” ujarnya.
Kronologi Nahas Berantai
Kejadian dilaporkan bermula apabila sebuah teksi Green SM terhenti di tengah landasan berhampiran Stesen Bekasi Timur pada malam Isnin.
Teksi tersebut kemudian dilanggar oleh KRL yang dalam perjalanan dari Cikarang menuju Jakarta, menyebabkan tren itu terhenti di atas landasan.
Orang awam yang berada di lokasi kemudiannya berkumpul untuk membantu proses menyelamat.
Dalam masa sama, sebuah lagi KRL arah Cikarang yang tertahan di stesen akibat insiden awal itu kemudiannya dirempuh oleh tren Argo Bromo Anggrek yang datang dari arah Jakarta.
Pertembungan berantai itu mengakibatkan jumlah korban yang tinggi serta mencetuskan persoalan besar terhadap tahap keselamatan sistem pengangkutan rel di negara berkenaan. – The Malaysian Update
The post Menteri PPPA Jadi Perhatian, Usul Pindah Gerabak Wanita Ke Tengah Selepas Tragedi Bekasi appeared first on The Malaysian Update.
