
JAKARTA – Tular di media sosial apabila seorang wanita didakwa membuat ramalan mengenai kemalangan kereta api yang akhirnya benar-benar berlaku di Bekasi, wilayah Jawa Barat, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Insiden perlanggaran tren yang berlaku kelmarin itu kini dilaporkan meragut 14 nyawa, manakala 84 mangsa lain mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di hospital.
Perhatian warganet tertumpu kepada satu rakaman video yang dimuat naik oleh akaun Instagram, @tirtasiregar, beberapa hari sebelum tragedi tersebut berlaku.
Lebih mengejutkan, kandungan video itu seolah-olah menggambarkan kejadian yang bakal berlaku.
“Pada tarikh 21 April 2026, sama ada percaya atau tidak, saya melihat akan berlaku satu kemalangan melibatkan ‘ular besi’,” kata wanita berkenaan dalam rakaman tersebut.
Rakaman itu kini meraih lebih 6.5 juta tontonan dan terus menjadi bahan perbincangan hangat di media sosial.
Netizen Persoal Kebetulan Atau Ramalan Tepat
Di ruangan komen, ramai pengguna meluahkan rasa terkejut dan tertanya-tanya sama ada kejadian itu sekadar kebetulan atau benar-benar satu ramalan.
“Video ini dimuat naik tujuh hari sebelum kejadian,” tulis seorang pengguna yang menarik perhatian ramai.
Bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi mengenai dakwaan tersebut, dan pihak berkuasa masih memberi tumpuan kepada siasatan punca sebenar kemalangan tragis itu. – The Malaysian Update
The post Wanita ‘Ramal’ Nahas Kereta Api Bekasi Jadi Perhatian, Video Tular Sebelum Kejadian appeared first on The Malaysian Update.
