Menteri Sumber Manusia ketuai delegasi negara ke Persidangan Buruh Antarabangsa di Geneva

LocalPolitics
4 Jun 2025 • 3:58 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Menteri Sumber Manusia ketuai delegasi negara ke Persidangan Buruh Antarabangsa di Geneva

image is not available

04/06/2025 - 15:58

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Jun — Menteri Sumber Manusia, Steven Sim hari ini mengetuai delegasi Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bagi menghadiri Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) 2025 di Geneva, Switzerland.


Penyertaan Malaysia dalam forum tahunan anjuran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) itu mencerminkan komitmen berterusan negara memastikan dasar dan perundangan buruh sentiasa seiring piawaian antarabangsa.


Langkah ini menurut Kesuma, adalah penting dalam usaha memperkukuh aspek perlindungan pekerja, meningkatkan kesejahteraan tenaga kerja serta merangsang usaha kerjasama strategik dalam bidang pembangunan modal insan.


"Di Geneva, beliau dijadual menyampaikan pidato umum selain bertemu rakan sejawat dari beberapa negara ASEAN serta mengadakan pertemuan dua hala dengan wakil pelbagai negara," katanya dalam satu kenyataan.


Antaranya tambah kementerian itu, delegasi China, India, Nepal dan Qatar yang dijangka mampu memperkukuh usaha kerjasama kerajaan dalam isu-isu mobiliti pekerja dan pengurusan buruh rentas sempadan.

Sepanjang misi rasmi itu, perwakilan Malaysia turut mengadakan sesi libat urus strategik bersama-sama pelbagai pihak antarabangsa dengan tumpuan utama ialah penglibatan aktif dalam Forum Ekonomi Sedunia (WEF).


Kenyataan tersebut menambah, sesi itu termasuk pelancaran strategi nasional TalentCorp bagi menangani isu bakat dan inisiatif 'Gender Parity Accelerator' yang bertujuan meningkatkan penglibatan wanita dalam tenaga kerja.


Melalui penyertaan aktif dan hubungan erat dengan pelbagai rakan antarabangsa, Kesuma berkeyakinan hasil lawatan rasmi tersebut akan memberi banyak impak positif dalam usaha kerajaan mengangkat martabat pekerja.


"Penyertaan Malaysia juga memperkukuh daya saing negara serta mempersiapkan tenaga kerja Malaysia untuk menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan," kata kenyataan tersebut. - DagangNews.com

standard