‘Kenapa Tiada Wakil MTUC Ke ILC?’ - Solomon

LocalPolitics
4 Jun 2025 • 12:26 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Setiap tahun MTUC akan menyertai delegasi Malaysia ke ILC tetapi tidak tahun ini - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Tindakan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mengecualikan wakil pekerja dari menyertai delegasi negara ke Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) ke-113 di Geneva, Switzerland dianggap amat mengejutkan. 

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), J Solomon berkata,  
Malaysia sejak 1957 telah diiktiraf sebagai ahli ILO.

Menurut beliau, adalah satu kelaziman untuk delegasi negara disertai tiga pihak terdiri daripasa wakil kerajaan, wakil Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dan wakil MTUC.

“Ia adalah perhimpunan terbesar kerajaan, pekerja dan majikan. Tahun ini, buat pertama kalinya, kementerian gagal menyenaraikan wakil MTUC sebagai antara delegasi,” katanya.

Solomon berkata, MTUC telah memfailkan aduan rasmi dengan Jawatankuasa Kelayakan ILO berhubung perkara ini. 

Sementara itu, bekas Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, wakil MTUC tidak disenaraikan kerana kesatuan itu sehingga kini  tidak memiliki barisan kepimpinan rasmi.

Ia susulan pemecatan presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani.

Menafikan dakwaan Solomon, Kamarul berkata beliau hairan mengapa KESUMA turut dikaitkan dengan isu berkenaan.

“MTUC kini berada di bawah perintah penangguhan pelaksanaan oleh mahkamah, yang hanya membenarkan badan itu menjalankan urusan pentadbiran biasa.

“Ketiadaan MTUC di ILC tiada kena-mengena dengan KESUMA atau menteri yang berkenaan,” tambahnya sambil memberitahu, slot wakil pekerja telah diisi oleh pegawai dari Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

“Justeru, ketiadaan wakil MTUC tidak seharusnya dijadikan isu,” katanya. - Getaran, 4 Jun 2025