Menteri tidak puas hati video montaj TMM2026, mengelirukan pelancong

LocalEntertainment
9 Jan 2025 • 2:45 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, mengakui tidak berpuas hati dengan video montaj promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang dikatakan mengelirukan pelancong. Beliau mengarahkan video tersebut dibuat semula mengikut pembahagian zon di setiap negeri dalam tempoh seminggu.

“Saya sudah menonton video berkenaan dan terdapat klip yang lompat-lompat. Sekejap memaparkan destinasi di Pahang, sekejap di Sabah, kemudian kembali ke Pahang.

“Video sebegini boleh menyebabkan pelancong keliru mengenai lokasi yang dipaparkan. Oleh itu, saya mengarahkan video tersebut dibuat semula mengikut zon negeri,” katanya memetik laporan dari Harian Metro, Khamis, 9 Januari 2025.

Video tular bukan video rasmi TMM2026

Mengulas isu video yang tular semasa pelancaran logo TMM2026 di Putrajaya, kelmarin, Tiong menjelaskan video tersebut bukan bahan rasmi promosi acara itu.

“Video itu hanyalah untuk melancarkan logo dan berdurasi 40 saat. Mana mungkin kita mempromosikan Malaysia kepada pelancong luar dalam tempoh sesingkat itu.

“Jika mahu memaparkan semua destinasi menarik termasuk tempat makan di seluruh negeri, durasi video mungkin mencecah 40 minit. Jadi, video baharu akan dihasilkan mengikut zon negeri supaya pelancong dapat fokus kepada lokasi yang ingin mereka kunjungi,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa elemen seni bina masjid akan dimasukkan dalam video promosi baharu. Sebelum ini, video montaj ringkas berdurasi 41 saat yang tular hanya digunakan untuk pelancaran logo.

Sumber: Harian Metro