“Menunggang motosikal yang diubah suai” – 2 Budak Perempuan 12 Tahun Ditahan Kerana Merempit

Entertainment
21 Mar 2025 • 10:33 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Dua budak perempuan berusia 12 tahun antara 38 individu ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika sedang berlumba haram di ibu negara, semalam.

Memetik laporan Kosmo!, kedua-dua kanak-kanak terbabit didapati menunggang motosikal milik ibu bapa mereka yang mana bahagian ekzos dan brek kenderaan tersebut telah diubah suai secara haram.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, operasi membabitkan laluan dari Jalan Ampang ke Jalan Sultan Ismail itu dijalankan susulan aduan orang awam berkaitan aktiviti perlumbaan haram.

image is not available

“Kita telah memanggil ibu bapa kedua-dua kanak-kanak berkenaan dan mengambil tindakan atas kesalahan menunggang di bawah umur.

“JPJ juga akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi mengambil tindakan selanjutnya ke atas ibu bapa kanak-kanak tersebut kerana membenarkan anak mereka terlibat dalam aktiviti lumba haram,” katanya.

Mengulas lanjut, susulan operasi itu, sebanyak 96 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan manakala 19 motosikal disita kerana didapati diubah suai struktur, enjin, dan ekzos.

Katanya, antara kesalahan paling banyak direkodkan adalah menunggang motosikal tanpa lesen sah dan pengubahsuaian jentera secara haram.

Difahamkan, kesemua penunggang motosikal yang ditahan berusia dalam lingkungan 12 hingga 18 tahun dan kebanyakannya merupakan pelajar sekolah.

Sumber: Kosmo!

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.