Menyamar Jadi Penghantar Barang, Lelaki Maut Selepas Rogol & Samun Wanita Di Wangsa Maju

LocalPolitics
8 Oct 2025 • 11:46 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Setiap hari ada sahaja kes jenayah yang dilaporkan berlaku seperti rogol, samun dan banyak lagi.

Malah pelbagai taktik licik turut dilakukan asalkan matlamat jenayah yang ingin dilakukan tercapai.

Perkara ini secara tidak langsung membuatkan orang ramai bimbang serta takut akan keselamatan mereka.

Menyamar jadi penghantar barang sebelum samun dan rogol wanita di sebuah rumah

Terbaharu, seorang lelaki dilaporkan maut selepas bergelut dengan polis ketika hendak ditahan. Ini selepas dia disyaki terbabit dalam kes menyamar kononnya menjadi penghantar barang sebelum menyamun dan merogol di sebuah residensi di Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 6 Oktober lalu.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus polis menerima panggilan kecemasan mengenai insiden pecah rumah di tempat kejadian sekitar jam 12.40 tengah hari.

“Bertindak atas maklumat, dua anggota polis bergegas ke lokasi dan memanggil penghuni rumah namun tiada jawapan diterima.

“Lima minit kemudian, pintu dibuka oleh seorang lelaki sebelum polis memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dan masuk untuk membuat pemeriksaan,” ujarnya, semalam (7 Oktober) lapor Sinar Harian.

Kata beliau lagi, lelaki berkenaan secara tiba-tiba bertindak mengeluarkan sebilah pisau pemotong daging serta cuba untuk menetak anggota polis sehingga menyebabkan berlakunya pergelutan.

“Anggota polis berjaya mengelak sebelum suspek menumbuk muka dan menggigit tangan salah seorang daripada mereka, pengawal keselamatan turut membantu menahan lelaki itu.”

Walau bagaimanapun, jelasnya selepas suspek ditangkap, dia kemudian memaklumkan mengalami sesak nafas dan ambulan dipanggil ke tempat kejadian.

“Pemeriksaan pegawai perubatan yang tiba 40 minit kemudian mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia.

“Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur pada Selasa (7 Oktober) mendapati punca kematian masih dalam siasatan dan laporan makmal telah dipohon bagi mengenal pasti punca sebenar.

“Pemeriksaan forensik juga tidak menemui sebarang kecederaan nyata pada tubuh badan suspek,” jelasnya.

Siasatan lanjut yang dilakukan mendapati ketika insiden berlaku, empat wanita warga Malaysia berada di dalam rumah terbabit. Suspek bertindak mengikat tangan kesemua wanita.

“Suspek mengikat tangan kesemua mangsa sebelum mengurung tiga daripadanya di bilik utama.

“Seorang lagi mangsa dibawa ke bilik kedua dan dirogol sebanyak dua kali termasuk di bilik mandi. Keempat-empat mangsa turut mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan, muka dan badan.”

Dalam insiden yang berlaku itu, Fadil memaklumkan lelaki berkenaan juga sempat melarikan wang tunai RM200 dan kad ATM milik mangsa sebelum bertindak membuat serangan itu.

“Siasatan mendapati suspek berusia 26 tahun itu mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan kes samun,” katanya.

Source: