JOHOR BAHRU – Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) memandang serius isu tular berkaitan individu yang didakwa sebagai staf hospital meminta bayaran deposit wad secara tunai tanpa mengeluarkan resit rasmi.
Pengurusan hospital dalam kenyataan memaklumkan bahawa siasatan awal mendapati individu berkenaan bukan kakitangan hospital.
Susulan itu, tindakan segera diambil dan wanita terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Asisten Komisioner Raub Selamat, mengesahkan bahawa satu laporan telah dibuat berhubung kejadian berkenaan.
Jelasnya, seorang wanita tempatan berusia 27 tahun yang dipercayai bekerja sebagai sukarelawan di hospital berkenaan telah ditahan.
“Seorang lelaki warga asing berusia 38 tahun yang bekerja sebagai buruh kasar membuat laporan mengenai kejadian itu dan dipercayai suspek meminta deposit sebanyak RM700.
“Suspek ditahan dan direman selama empat hari bermula Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi.


