amree21/10/2026 - 16:45 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt — Malaysia muncul sebagai pusat servis eksklusif bagi 'hypercar' Mercedes-AMG ONE di rantau Asia Tenggara menerusi pelaburan RM2.2 juta oleh Mercedes-Benz Malaysia untuk membangunkan hab servis khusus bagi kereta berprestasi ultra tinggi.
Kemudahan di Hap Seng Star Bukit Tinggi, Klang, Selangor itu merupakan hab servis Mercedes-AMG ONE pertama dan satu-satunya di Asia Tenggara, sekali gus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pusat sokongan teknikal bagi kenderaan berprestasi tinggi di rantau ini.
Hab itu menyertai rangkaian terhad global yang merangkumi Jerman, Switzerland, beberapa lokasi di Timur Tengah iaitu Dubai, Abu Dhabi dan Kuwait, serta Jepun. Kemudahan di Malaysia melengkapi hab sedia ada di Jepun bagi memperluas liputan servis di Asia Pasifik.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Cars Malaysia merangkap Ketua Wilayah Mercedes-Benz Cars Asia Tenggara, Martin Schulz berkata, pembukaan kemudahan itu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab strategik Mercedes-Benz.
"Pembukaan hab tersebut mencerminkan keyakinan syarikat automotif ini terhadap kepakaran dan keupayaan tenaga kerja tempatan sendiri," jelas beliau dalam kenyataan.

Tambahnya, teknologi perlumbaan Formula 1 yang diterapkan pada Mercedes-AMG ONE memerlukan ekosistem penyelenggaraan secara khusus bagi memastikan prestasi kenderaan berkenaan dapat dikekalkan mengikut piawaian pengeluar berkenaan.
Mercedes-AMG ONE merupakan hypercar dua tempat duduk menggunakan teknologi rangkaian tenaga hibrid daripada Formula 1. Ia menggabungkan enjin V6 turbo 1.6 liter dengan empat motor elektrik menjana sistem melebihi 1,063 kuasa kuda, dengan putaran enjin sehingga 11,000 rpm.
Kenyataan tersebut menjelaskan, dengan pengeluaran global terhad kepada hanya sebanyak 275 unit, model berkenaan memerlukan banyak peralatan tertentu, prosedur keselamatan dan kepakaran teknikal khusus yang melangkaui keperluan penyelenggaraan kenderaan biasa.
"Hab di Bukit Tinggi dilengkapi peralatan khusus bagi sistem voltan tinggi, peralatan diagnostik, serta kemudahan penyimpanan dan ruang kerja terkawal. Pasukan juruteknik tempatan juga menjalani latihan khusus dan memperoleh pensijilan Mercedes-AMG," katanya.
Naib Presiden Khidmat Pelanggan dan Pembangunan Rangkaian Mercedes-Benz Malaysia dan Asia Tenggara, Edmin Naidoo berkata, kemudahan itu dibangunkan bagi memastikan setiap prosedur servis memenuhi keperluan kejuruteraan Mercedes-AMG ONE, sekali gus memberikan keyakinan kepada pemilik.

Kelebihan Malaysia ujar beliau, turut disokong oleh rangkaian pengangkutan darat, laut dan udara yang bersepadu serta kedudukan hab logistik alat ganti Mercedes-Benz Asia Pasifik di negara ini.
Kemudahan berkenaan turut menawarkan sokongan teknikal di lapangan, pegawai perhubungan khusus untuk pelanggan antarabangsa, serta sistem digital bagi membolehkan pelaporan diagnostik yang telus.
Ketua Eksekutif Bahagian Automotif Hap Seng Consolidated, Lee Weng Yew berkata, pelantikan Hap Seng Star Bukit Tinggi sebagai lokasi hab berkenaan mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan teknikal dan pasukan khusus syarikat itu.
Pembangunan tersebut juga sejajar dengan usaha memperkukuh sektor perkhidmatan bernilai tinggi Malaysia, termasuk aspirasi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) 2026–2030 untuk meningkatkan daya saing negara sebagai pusat perkhidmatan serantau. - DagangNews.com

