Merdeka daripada perangai menjelikkan

LocalOpinion
2 Sep 2026 • 8:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Merdeka daripada perangai menjelikkan
Masih ramai di media sosial seolah-olah belum merdeka daripada perangai menjelikkan. - Gambar hiasan

MERAK Jalanan tertanya-tanya, apakah benar kita sudah merdeka sepenuhnya? Negara mungkin sudah 69 tahun merdeka tapi jiwa dan minda segelintir rakyat masih belum.

Jalur Gemilang berkibar megah, lagu patriotik berkumandang, tetapi di media sosial masih ramai yang seolah-olah belum merdeka daripada perangai menjelikkan. Sedikit berbeza pandangan, terus dihentam. Tidak setuju, terus dicaci. Tidak kenal pun orangnya, tetapi begitu yakin menghukum seolah-olah memegang lesen untuk merendahkan maruah orang lain.

Paling menyedihkan, ada yang menjadikan ruang komen sebagai tempat melepaskan geram tanpa memikirkan perasaan manusia di hujung skrin. Bagi mereka, asal boleh menaip, semua benda halal untuk diperkatakan.

Merak Jalanan bukan mahu rakyat menjadi terlalu sensitif. Perbezaan pendapat memang sebahagian daripada demokrasi. Tetapi berbeza pendapat tidak pernah bermaksud kita mendapat tiket untuk membuang adab.

Kita mahu Malaysia yang maju, tetapi jangan sampai teknologi semakin canggih sedangkan akhlak semakin mundur. Merdeka sepatutnya membebaskan kita daripada penjajahan, bukan membebaskan lidah dan jari untuk menghina sesuka hati.

Jadi, sempena Hari Kebangsaan ini, mungkin sudah tiba masanya kita kibarkan satu lagi slogan: Merdeka daripada kebencian. Merdeka daripada penghinaan. Merdeka daripada perangai menjelikkan.

Kerana bangsa yang benar-benar merdeka bukan bangsa yang paling kuat menghentam, tetapi bangsa yang masih tahu bila perlu bersuara dan bila perlu menjaga hati manusia. Rakyat Malaysia berbudi bahasa tapi tingkah laku netizennya menggambarnya yang sebaliknya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved