Sudah bayar ‘harga’, masih belum cukup?

EntertainmentOpinion
24 Aug 2026 • 8:01 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sudah bayar ‘harga’, masih belum cukup?

Dalam dunia hiburan, kesilapan artis seolah-olah tiada tarikh luput. Sekali tersilap, nama boleh terus dipaku pada kesalahan itu bertahun-tahun dan diungkit semula.

Artis bukan kebal daripada kritikan. Jika melakukan kesalahan, mereka perlu bertanggungjawab dan menerima akibatnya. Itu harga yang perlu dibayar. Tetapi sampai bila harga itu perlu dituntut?

Jika sudah mengaku salah, memohon maaf dan berusaha memperbaiki kehidupan, apakah masih perlu dihukum setiap kali cuba bangkit?

Kontroversi pemilihan Aliff Aziz dalam teater muzikal Mansur & Liu memperlihatkan bagaimana kesilapan masa lalu kembali menghantui. Pemilihannya dipertikaikan netizen, manakala pihak produksi mempertahankannya atas pertimbangan profesional selepas proses uji bakat. Bagi penulis, masyarakat berhak bersuara tetapi keputusan profesional juga wajar dihormati.

Masalahnya, media sosial hari ini tidak mengenal istilah ‘sudah selesai’. Video lama boleh muncul semula, kisah lalu boleh dikorek kembali. Dalam sekelip mata, seseorang boleh dihukum sekali lagi atas perkara yang sudah lama berlalu.

Kita boleh mengingati kesalahan, tetapi jangan menafikan perubahan. Jika seseorang sudah berubah, nilai usahanya, bukan terus menghukumnya kerana masa lalu.

Namun, jangan pula salah faham. Peluang kedua bukan lesen untuk alpa. Artis yang pernah tersilap tetap perlu membuktikan perubahan melalui sikap, disiplin dan kerja. Kepercayaan yang hilang bukan sesuatu yang boleh dituntut semula, sebaliknya perlu dibina kembali.

Industri hiburan juga tidak boleh terlalu takut kepada tekanan media sosial. Penerbit, pengarah dan penganjur mempunyai pertimbangan profesional sendiri. Jika seseorang dipilih kerana bakat, kemampuan dan kesesuaian dengan sesuatu karya, biarlah prestasinya dinilai melalui kerja. Kalau setiap keputusan industri perlu tunduk kepada kecaman netizen, untuk apa lagi pertimbangan profesional?

Masyarakat pula berhak untuk tidak menyokong. Namun, itu bukan lesen untuk menghina, mengaibkan atau cuba menutup periuk nasi anak seni selama-lamanya.

Ironinya, kita sering meminta artis mengaku salah, meminta maaf dan berubah. Tetapi apabila mereka benar-benar cuba bangkit, kita pula berkata, “Kami belum lupa.” Jadi, apa sebenarnya yang kita mahu? Perubahan atau hukuman?

Kesalahan tetap perlu dipertanggungjawabkan. Tetapi selepas tanggungjawab ditunaikan, masyarakat juga perlu tahu bila untuk berhenti. Memberikan peluang bukan bermaksud “memutihkan” kesalahan, manakala memaafkan bukan bererti melupakan. Yang penting ialah melihat sama ada seseorang itu benar-benar belajar daripada apa yang pernah berlaku.

Pada akhirnya, isu ini bukan tentang Aliff Aziz seorang atau mana-mana artis. Ini tentang sikap kita terhadap manusia yang pernah jatuh. Jangan sampai kita begitu ghairah menghukum sehingga lupa tujuan seseorang dipertanggungjawabkan ialah supaya dia belajar dan berubah, bukan dihukum selama-lamanya.

Masa lalu memang tidak boleh diubah, tetapi manusia bukan patung yang selamanya terperangkap dalam satu kesilapan. Jika seseorang sudah bayar harga kesalahannya, menunjukkan penyesalan dan membuktikan perubahan, terus menghukumnya bukan lagi keadilan. Itu sudah kejam.

The post Sudah bayar ‘harga’, masih belum cukup? appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved