Merdeka tapi masih terpisah

LocalOpinion
12 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Merdeka tapi masih terpisah

SEPANJANG bulan kebangsaan, Jalur Gemilang menghiasi premis perniagaan, kenderaan, rumah dan jalan raya.

Begitu juga lagu patriotik terus berkumandang, manakala pelbagai kempen menyeru rakyat menghayati semangat perpaduan. Namun, di sebalik kemeriahan sambutan kemerdekaan, satu persoalan wajar diajukan secara jujur, benarkah Bangsa Malaysia sudah wujud atau kita sekadar mengulang slogan setiap kali tibanya bulan kebangsaan?

Lebih enam dekad selepas mencapai kemerdekaan, kita masih sibuk membicarakan soal toleransi, keharmonian dan hubungan antara kaum. 

Perbincangan sering tertumpu kepada bagaimana masyarakat boleh hidup bersama tanpa perselisihan, bukannya bagaimana kita membina satu identiti kebangsaan yang benar-benar dikongsi.

Bagi saya, jawapannya mudah tetapi pahit iaitu bangsa Malaysia masih belum benar-benar terbentuk. Keadaan ini bukan berlaku secara kebetulan. Dasar yang berubah-ubah tanpa hala tuju jelas turut menyukarkan usaha membina identiti bersama.

Lebih membimbangkan, isu perkauman masih menjadi modal politik. Di hadapan khalayak, sentimen tersebut dikecam kerana dianggap memecahbelahkan masyarakat. Namun, apabila musim pilihan raya tiba, isu berkaitan kaum kembali dimainkan untuk meraih sokongan.

Kita memang sudah bebas daripada penjajahan fizikal tetapi masih bergelut dengan tembok pemisah berasaskan identiti. Mengibarkan Jalur Gemilang selama sebulan tidak mungkin memadamkan prasangka yang terbina sepanjang tahun.

Bangsa Malaysia tidak akan terbentuk hanya melalui slogan, kempen atau iklan perpaduan. Ia memerlukan keberanian untuk mengurangkan politik berasaskan perkauman, memperjelas hala tuju dasar negara dan memperluas ruang interaksi antara masyarakat. 

Pada masa sama, setiap rakyat perlu melihat dirinya sebagai sebahagian daripada sebuah bangsa yang berkongsi masa depan.

Kita tidak seharusnya sekadar meraikan kemerdekaan sebaliknya perlu menghayati maknanya dalam kehidupan seharian. 

Jika identiti kebangsaan masih mudah dikalahkan oleh sentimen kelompok, gagasan Bangsa Malaysia akan terus menjadi slogan yang indah disebut setiap bulan kebangsaan tetapi belum benar-benar hidup dalam realiti masyarakat. –UTUSAN

MUHAMMAD ZAHID FIDDAUS

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 

The post Merdeka tapi masih terpisah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved