Adakah pemikiran kita sudah merdeka?

LocalOpinion
3 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Adakah pemikiran kita sudah merdeka?

SETIAP kali Ogos dan September, Jalur Gemilang mula berkibar di jalan raya, lagu patriotik berkumandang dan pelbagai program dianjurkan bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia.

Kita mengenang perjuangan generasi terdahulu membebaskan tanah air daripada penjajahan. Namun, setelah puluhan tahun menikmati kemerdekaan, wajar kita bertanya, adakah hanya negara yang bebas, sedangkan pemikiran dan jiwa masih terbelenggu?

Kemerdekaan bukan sekadar pertukaran bendera atau terbentuknya sebuah kerajaan sendiri. Ia turut bermakna kebebasan daripada ketakutan, kebodohan, penindasan dan penghambaan.

Negara mungkin tidak lagi dikuasai kuasa asing tetapi masyarakat boleh terperangkap dalam penjajahan pemikiran apabila mudah dipengaruhi sentimen, enggan menyemak fakta dan membiarkan emosi mengatasi pertimbangan.

Hari ini, berita palsu mudah tersebar melalui media sosial. Video yang dipotong, tajuk menghasut dan maklumat tanpa sumber mampu mencetuskan kemarahan dalam sekelip mata.

Perbezaan kaum, agama atau pandangan pula sering dijadikan alasan untuk bermusuhan. Jari lebih pantas berkongsi berbanding akal menilai.

Inilah bentuk penjajahan baharu yang tidak memerlukan tentera, sebaliknya hanya memerlukan manusia yang malas berfikir.

Kebencian juga kadangkala disemai atas nama agama dan bangsa. Masyarakat ditakutkan dengan dakwaan bahawa sesuatu kaum mahu menguasai negara atau kepercayaan tertentu sedang terancam.

Akibatnya, rakyat berpecah sedangkan masalah seperti rasuah, kemiskinan, keciciran pendidikan dan ketidakadilan terus berlaku.

Kemerdekaan fikiran menuntut kita menolak rasuah tanpa mengira siapa pelakunya. Setiap wang awam yang diselewengkan boleh menjejaskan kemudahan rakyat.

Jika kita hanya mengecam kesalahan pihak lawan tetapi berdiam diri apabila dilakukan kelompok sendiri, kita sebenarnya belum bebas daripada fanatisme.

Pendidikan pula bukan sekadar memperoleh sijil. Pemikiran yang merdeka lahir daripada kesediaan membaca, bertanya, menilai bukti dan menerima pandangan berbeza.

Kita perlu mampu membezakan fakta daripada fitnah serta hujah daripada hasutan.

Teknologi sepatutnya membuka ruang kepada ilmu, bukannya menjadi alat manipulasi.

Algoritma media sosial boleh menyajikan kandungan yang sehaluan dengan kecenderungan kita sehingga wujud ruang gema yang menguatkan kepercayaan sendiri.

Justeru, kita perlu berhenti sebelum berkongsi, menyemak sebelum mempercayai dan berfikir sebelum menghukum.

Dalam masyarakat majmuk, kemerdekaan juga bererti kesediaan hidup bersama secara bermaruah. Kepelbagaian agama, budaya dan bahasa ialah kekuatan Malaysia.

Kita tidak perlu menjadi serupa untuk mencintai negara, sebaliknya perlu menghormati perbezaan sambil menjaga kepentingan bersama.

Patriotisme bukan hanya mengibarkan Jalur Gemilang atau berdiri ketika lagu Negaraku dimainkan.

Ia terserlah melalui sikap tidak membuang sampah, menolak rasuah, membantu jiran, menghormati undang-undang serta berani mempertahankan kebenaran.

Bulan kemerdekaan ini seharusnya menjadi ruang untuk kita membebaskan fikiran daripada kebencian, fanatisme, ketakutan dan kejahilan. Bacalah sebelum percaya, semak sebelum berkongsi dan dengar sebelum menghukum.

Kita sudah lama merdeka sebagai sebuah negara. Kini tiba masanya kita benar-benar merdeka sebagai manusia. – UTUSAN

ATRIZA UMAR
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

The post Adakah pemikiran kita sudah merdeka? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved