
KUALA LUMPUR: Bagi sesetengah individu, batik mungkin sekadar sehelai kain yang ‘murah’, namun, bagi seorang wanita yang mengabdikan diri dalam dunia batik hampir empat dekad lamanya, ia merupakan seni warisan yang tidak ditelan dek zaman.
Bermula sejak 1986, Nor Fouziah Yahaya tidak pernah jemu menghasilkan pelbagai produk berasaskan batik, malah sehingga kini hampir 500 jenis hasil karyanya telah dihasilkan. Tujuan utama, memastikan warisan seni batik Malaysia terus hidup dan dekat dengan generasi masa kini.
Menariknya, hasil tangannya bukan hanya terhad kepada kain atau pakaian batik seperti yang lazim dilihat, sebaliknya kreativiti wanita itu diterjemahkan dalam pelbagai bentuk yang dekat dengan kehidupan seharian.
Daripada bekas alat tulis, batu seremban, ketupat batik, sarung botol air, alas cawan dan meja, key-chain sehinggalah pelbagai barangan kecil lain, semuanya diberi sentuhan batik bagi menjadikan seni tradisional itu lebih mudah diterima dan digunakan dalam kehidupan moden.
Baginya, batik tidak seharusnya terperangkap dalam gambaran lama bahawa ia hanya sesuai untuk pakaian tradisional atau majlis rasmi.
Sebaliknya, batik perlu terus berkembang mengikut peredaran zaman tanpa menghilangkan identiti dan nilai budaya yang terkandung di dalamnya.
“Saya buat sebab minat. Saya tidak fikir sangat tentang untung. Tetapi saya lebih risau kalau satu hari nanti orang sudah tidak kenal batik, terutama anak-anak muda.
“Kalau kita tidak cuba bawa batik dalam bentuk yang mereka suka dan boleh gunakan, lama-lama warisan ini mungkin tenggelam,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kegigihannya selama puluhan tahun itu bukan sekadar menghasilkan produk, tetapi satu usaha kecil untuk memastikan seni yang diwarisi daripada generasi terdahulu terus mempunyai tempat dalam kehidupan masyarakat.
Jelas Nor Fouziah lagi, dalam dunia yang semakin dipenuhi produk moden, dia memilih untuk membawa batik ke dalam bentuk yang lebih santai, praktikal dan sesuai dengan kehidupan hari ini.
Usaha itu turut diteruskan bersama suaminya, Mohammad Effendy Abd Ghaffar di sebuah kedai di Pasar Seni atau lebih dikenali sebagai Central Market (CM), yang menjadi antara ruang untuk mereka memperkenalkan hasil karya batik kepada masyarakat tempatan dan pelancong asing.
Menariknya, sambutan daripada pelancong luar negara membuktikan batik Malaysia masih mempunyai daya tarikan tersendiri di mata dunia.
Antara yang paling menghargai hasil seni itu ialah pelancong dari Jepun yang sering tertarik dengan keunikan corak, warna dan produk berasaskan batik yang dihasilkan.
“Pelancong ini sukakan kraf dan sangat menghargai setiap produk yang kita hasilkan, dan mereka melihat dari segi karya yang dihasilkan, bukan kain batik semata-mata,” katanya.

Bagi Nor Fouziah, setiap kali pelancong asing menunjukkan minat terhadap hasil batik Malaysia, ia memberikan satu kepuasan yang sukar diukur dengan nilai keuntungan semata-mata.
Ia seolah-olah menjadi bukti bahawa seni warisan tempatan mampu merentasi sempadan, asalkan terus dipelihara dan diberi nafas baharu.
Lebih bermakna, perjalanan wanita itu dalam mempertahankan batik masih bernafas sehingga hari ini ketika negara bakal menyambut hari kebangsaan.
Katanya, selepas hampir 40 tahun menghasilkan karya berasaskan batik, perjuangannya mengingatkan kemerdekaan bukan hanya tentang sejarah yang tercatat dalam buku, tetapi juga tentang bagaimana rakyat mempertahankan identiti dan warisan yang membentuk jati diri sebuah negara.
“Cabaran kita adalah bila ada mentaliti masyarakat yang masih tidak memerdekakan pemikiran mereka yang menganggap batik ini murah. Ia bukan sekadar batik, tetapi karya yang dihasilkan ke atas batik itu sendiri. Kalau tiada kemahiran, produk batik ini tidak akan menjadi,” jelasnya.
Katanya, batik antara seni yang mencerminkan wajah Malaysia yang kaya dengan warna, corak, kreativiti dan pengaruh pelbagai budaya yang berkembang bersama masyarakat.
“Mempertahankan batik tidak semestinya dilakukan melalui cara yang besar. Kadangkala ia bermula dengan sesuatu yang kecil seperti membeli sehelai kain, menggunakan produk batik dalam kehidupan seharian atau memperkenalkan seni itu kepada anak-anak.
“Itulah yang dilakukan saya selama ini,” katanya.
Setakat ini, hampir 500 produk yang dihasilkannya menjadi bukti bagaimana sebuah minat yang bermula lebih empat dekad lalu boleh berkembang menjadi satu bentuk perjuangan mempertahankan warisan.
Daripada hanya menghasilkan kain batik, ia diubah menjadi sesuatu yang boleh disentuh, digunakan dan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
“Tetapi saya bangga dengan anak muda hari ini, minat terhadap batik mula meningkat. Jadi saya harap batik ini tidak akan terus ditelan zaman,” katanya.
Baginya, selagi ada orang yang mahu melihat, menggunakan dan menghargai batik, selagi itulah dia akan terus berkarya.
“Mungkin hasil yang paling besar daripada perjuangannya bukanlah jumlah produk yang terjual, tetapi apabila seorang anak muda mula mengenali batik melalui sebuah kipas, sarung pensel atau permainan batu seremban yang berwarna-warni.
“Kerana pada akhirnya, warisan tidak akan kekal hanya kerana kita mengenangnya. Warisan akan terus hidup apabila ia digunakan, dihargai dan disesuaikan dengan zaman,” katanya.- UTUSAN
The post Merdekakan pemikiran anggap produk batik kelas rendah appeared first on Utusan Malaysia.
