KOTA BHARU - Jenazah dua beradik yang lemas di Sungai Beril berhampiran Taman Beril, Paka, Terengganu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Buloh Poh, Melor di sini pada Isnin.
Jenazah Muhammad Aidil Amsyar Mohd Zul-Zunaidi, 14, dikebumikan pada 8.20 malam, manakala abangnya Muhammad Amir Ashraf, 15, pula dikebumikan kira-kira 11 pagi Isnin.
Bapa saudara mangsa, Mohamad Zul Hazim Mohd Baldin, 30, berkata, kedua-dua remaja itu membesar bersama seperti pasangan kembar kerana jarak usia mereka hanya setahun selain menjadi cucu sulung yang rapat dengan nenek mereka, Nor Hashimah Hashim, 64.
"Kami memang terkejut kerana mereka tidak pernah ke sungai itu sebelum ini dan keluarga juga sedang merancang mengadakan hari keluarga sempena Aidiladha hujung bulan ini," katanya ketika ditemui pemberita di tanah perkuburan tersebut.
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi Ahad, dua beradik terbabit lemas selepas dibawa arus ketika mandi bersama dua lagi rakan mereka di Sungai Beril.
Mayat Muhammad Amir Ashraf ditemukan pasukan penyelamat di dasar sungai kira-kira tujuh meter dari lokasi kejadian pada 3.47 petang Ahad, manakala Muhammad Aidil Amsyar ditemukan terapung berhampiran jeti Pasar Paka pada 9.55 pagi Isnin. - Bernama
