Meriahkan jelajah pameran trofi Kejohanan ASEAN 2024 di Shah Alam Sabtu ini

8 Oct 2024 • 4:27 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Peminat bola sepak tempatan berpeluang melihat trofi Kejohanan ASEAN 2024 lebih dekat apabila jelajah pameran trofi pertandingan bola sepak serantau itu meneruskan perjalanannya ke perhentian ketiga di Shah Alam, Sabtu ini.

Tiga bekas pemain negara yang membantu Malaysia muncul juara kejohanan itu pada 2010 iaitu Norshahrul Idlan Talaha, Mahali Jasuli dan Amri Yahya akan turut serta memeriahkan pameran itu di AEON Shah Alam bermula 11 pagi hingga 5 petang.

“Kemasukan ke acara ini yang menawarkan pelbagai pengalaman istimewa adalah percuma manakala Pas “Meet & Greet” boleh dimenangi melalui laman web Asean United FC dan platform media sosial @aseanutdfc,” menurut kenyataan penganjur kejohanan itu.

Jelajah trofi Kejohanan ASEAN 2024 yang sebelum ini dikenali sebagai Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) singgah di Bangkok, Thailand dan Singapura sebelum ini dan akan ke Hanoi, Vietnam pada 26 Oktober, Jakarta, Indonesia (2 November) sebelum berakhir di Manila, Filipina pada 9 November.

Kejohanan ASEAN 2024 akan bermula dengan perlawanan kelayakan dua pusingan masing-masing pada 8 dan 15 Oktober yang menemukan Brunei dengan Timor-Leste.

Pemenang perlawanan itu layak ke peringkat kumpulan yang dijadualkan bermula 8 Disember.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Thailand, Kemboja, Singapura dan pemenang antara Brunei dan Timor-Leste sementara Kumpulan B membariskan Indonesia, Vietnam, Filipina, Myanmar dan Laos.

– BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved