Mesir Kenal Pasti Mayat Tebusan Israel Di Gaza, Pastikan Rundingan Damai Tidak Gagal - PM

18 Oct 2025 • 10:16 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Tumpuan agresif terus diberikan kepada usaha mengenal pasti serta membawa keluar mayat tebusan rakyat Israel dari Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi memastikan rejim Zionis tidak mempunyai sebarang alasan untuk melengah atau menggagalkan proses damai yang sedang diusahakan.

Menurut beliau, perkembangan itu dimaklumkan kepadanya oleh Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi, petang tadi.

“Presiden El-Sisi memaklumkan kepada saya mengenai pelaksanaan fasa kedua pelan tersebut.

“Ia mencakupi pembinaan semula Gaza, keperluan melindungi Tebing Barat, serta pelaksanaan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penubuhan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF),” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Jelas Anwar, El-Sisi turut menyampaikan jemputan kepada beliau untuk menghadiri Persidangan Pembangunan Semula Gaza yang akan berlangsung di Mesir.

“Persidangan ini adalah sebagai sebahagian daripada usaha bersama memperkukuh sokongan antarabangsa terhadap pemulihan Gaza,” katanya.

Anwar berkata, El-Sisi juga menyatakan harapan agar kunjungan Presiden Amerika Syarikat  Donald Trump ke Malaysia minggu hadapan membawa hasil yang positif, memandangkan peranannya amat penting dalam menjamin keamanan yang berkekalan di Gaza.

“Kami sependapat mengenai keperluan untuk terus mempertahankan keamanan, memperkukuh agenda kemanusiaan, dan menyelaras pelaksanaan misi bantuan bagi rakyat Palestin yang masih berdepan penderitaan berpanjangan,” katanya. - Getaran, 18 Oktober 2025