Meski Terpalit Kontroversi, Kuala Lumpur Fashion Week 2022 Kekal Bergemerlapan!

Women's Fashion
28 Aug 2022 • 8:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
#KLFW2022 berlangsung lebih meriah dan terbuka pada tahun ini - Gambar oleh Syeda Imran

Di saat ramai penggiat fesyen tempatan masih ‘terkejut’ dengan berita-berita sensasi yang ‘menggemparkan’ pentas fesyen terkemuka ini, Kuala Lumpur Fashion Week 2022 (#KLFW2022) tetap berjalan lancar.

Penganjuran #KLFW2022 pada tahun ini bolehlah dikatakan lebih meriah berbanding #KLFW2021 .

Semua kerusi dipenuhi penonton dan tetamu kehormat. Tiada satu pun yang kosong.

image is not available
#KLFW22 gamat dengan kehadiran penonton, baik di dalam majlis, mahupun di setiap aras Pavilion KL - Gambar oleh Abdul Razak Latif

Setiap aras di Pavilion KL turut dipenuhi dengan pengunjung yang mengambil peluang mencuci mata sepanjang persembahan berjalan.

Pentas peragaan konvensional yang biasa kita lihat memanjang di tengah-tengah pentas juga berubah menjadi pentas peragaan berbentuk W yang mengelilingi penonton.

image is not available
Pentas peragaan semakin luas, memperlihatkan koleksi dari setiap sudut - Gambar oleh Abdul Razak Latif

Ramai penggemar fesyen yang melaram sakan, mengenakan persalinan-persalinan dan busana yang menarik perhatian. 

Barisan selebriti pula memenuhi ruang barisan hadapan bagi memberi sokongan terhadap pereka fesyen kegemaran mereka.

image is not available
Aina Abdul sekali lagi menarik perhatian dengan menyarung busana extravaganza rekaan Behati - Gambar oleh Sairien Nafis

Tidak lupa juga, pempengaruh media sosial dan penggemar-penggemar fesyen tempatan turut galak mengenakan penampilan terbaik mereka bagi memahat identiti fesyen masing-masing. 

Sama ada penampilan mereka diterima dengan kritikan atau pujian, ia satu perkara yang tidak diendahkan kerana inilah masanya mereka ‘bebas’ untuk berfesyen dan mengekpresi diri.

image is not available
Pengasas #KLFW, Andrew Tan didakwa tidak membayar model-model yang pernah berjalan di edisi tahun-tahun sebelumnya - Gambar oleh Abdul Razak Latif

Meskipun kita semua cakna tentang kontroversi model yang dikatakan tidak menerima bayaran daripada pihak penganjur menerusi  laporan sensasi portal Getaran dan The Vibes, suasana minggu fesyen ini masih berjalan meriah.

Seperti tiada apa yang berlaku, pemerhati fesyen melihat acara fesyen tahunan ini masih ‘dikerumuni’ para penggiat dan penggemar fesyen tempatan.

image is not available
DS Vida bersama Kel Wen, pereka fesyen Behati yang sering mencabar fesyen konvensional ke tahap yang baharu - Gambar oleh Sairien Nafis

Buktinya, Bukit Bintang masih lagi ‘ditawan’ oleh penampilan-penampilan berani dan bukan konvensional sepanjang minggu #KLFW2022 berlangsung.

Kami melihat ini sebagai satu trend fesyen yang sihat. Dari penampilan avant-garde ke neo-grunge, kami menyaksikan ‘penghidupan’ fesyen tempatan yang semakin berkembang.

image is not available
DS Vida tidak melepaskan peluang bergambar bersama artis-artis ‘drag’ di belakang pentas #KLFW2022 - Gambar oleh Sairien Nafis

Paling istimewa, tahun ini juga menyaksikan kehadiran seni fesyen ‘drag’ dengan lebih terbuka. Pastinya ada yang mencemuh, tidak kurang juga yang memuja.

Fesyen androgynous turut membuat kemunculan, mengaburi garisan fesyen antara sisi maskulin dan feminin tanpa menghiraukan peraturan fesyen kebiasaan.

image is not available
Gerakan fesyen bukan konvensional menjadi sorotan utama pada penganjuran #KLFW2022 kali ini

Setelah sekian lama didambakan arena fesyen tempatan, gerakan fesyen bukan konvensional seperti inilah yang diperlukan bagi menyuntik elemen kesegaran. 

Suka atau tidak, itulah perkembangan fesyen yang tidak tertahankan. Di sebalik semua kontroversi dan keriuhan, #KLFW2022 kekal gemerlapan. – Getaran, 28 Ogos 2022

image is not available
Antara paparan fesyen androgynous di #KLFW2022