Puteri Raja Muda Perlis, Khatreena Persembahkan Fesyen Inspirasi Kopi Menarik

Women's Fashion
26 Aug 2022 • 10:11 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Puteri sulung kepada Raja Muda Perlis ini mempersembahkan koleksinya yang diilhamkan mengikut tahap intensiti rangkaian kopi keluaran Moccona Coffee - Gambar oleh Syeda Imran

Buat tahun kelima berturut-turut, Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sekali lagi muncul di pentas Kuala Lumpur Fashion Week 2022 (#KLFW2022) untuk mempamerkan koleksi Khatreena x Moccona.

Dengan mengambil inspirasi kopi, pengasas jenama Khatreena ini berkenan untuk berkolaborasi dengan Moccona Malaysia selaku salah satu penaja rasmi acara fesyen terkemuka itu.

Puteri sulung kepada Raja Muda Perlis itu mempersembahkan koleksinya yang diilhamkan mengikut tahap intensiti rangkaian kopi keluaran Moccona Coffee. 

image is not available
Dengan mengambil inspirasi kopi, Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan untuk berkolaborasi dengan Moccona Malaysia

Khatreena x Moccona merangkumi 10 rekaan busana sedia-pakai dan setiap helaian boleh disarungkan semua wanita untuk tujuan kasual dan santai. 

Ketua Pemasaran JDE Coffee Malaysia, Phoon Shi Fun berkata, ia satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila Khatreena mampu menghidupkan visi mereka melalui rekaannya.

“Dengan reka bentuk feminin yang kemas dan tersusun, kolaborasi ini berjaya menggambarkan setiap intensiti kopi Moccona.

“Ia menghadirkan perbezaan personaliti dan mood yang berlainan mengikut emosi seseorang wanita itu pada satu-satu hari. 

image is not available
Dengan reka bentuk feminin yang kemas dan tersusun, kolaborasi ini berjaya menggambarkan setiap intensiti kopi Moccona

“Sama seperti fesyen, cara pemakaian kita berbeza mengikut situasi dan hari kerana ia memainkan peranan dalam mencipta detik-detik yang tidak dapat dilupakan.

“Sama ada ketika mereka menghadapi kesibukan pada siang hari ataupun semasa keluar meluangkan masa pada waktu malam bersama yang tersayang,” ucap Shi Fun.

Secara keseluruhannya, koleksi istimewa ini menjanjikan momen keanggunan buat penggemar fesyen dan kopi di negara ini.

Majlis peragaan diserikan lagi dengan kehadiran ayahanda Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan bonda Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. – Getaran, 26 Ogos 2022