
BUENOS AIRES – Lionel Messi menutup tirai karier antarabangsa bersama Argentina dengan penuh gemilang apabila menjaringkan gol dan mencipta dua bantuan jaringan untuk menewaskan Benin 3-0 dalam aksi persahabatan semalam.
Sebagai rekod, Messi telah mengumumkan persaraan antarabangsa pada 31 Ogos lepas sebelum setuju membuat penampilan terakhir bersama La Albiceleste pada jendela kali ini.
Kapten kelab Inter Miami itu mengakhiri karier antarabangsa dengan rekod luar biasa iaitu 126 gol dan 70 bantuan jaringan, selain membantu Argentina meraih dua kejuaraan Copa America serta Piala Dunia.
“Ini adalah hari yang paling sedih dalam karier saya untuk meninggalkan skuad kebangsaan.
“Saya tidak mempunyai apa-apa lagi untuk dilakukan selain bangga menyarung jersi ini. Saya sudah memberikan segala-galanya untuk Argentina,” kata pemain berusia 39 tahun itu.
Penutup karier antarabangsa Messi turut diselubungi emosi apabila bekas dan rakan sepasukannya serta penyokong memberikan penghormatan kepada kapten Argentina itu selepas perlawanan terakhirnya.
Tonggak tengah, Rodrigo De Paul yang juga rakan sepasukan bersama kelab Inter Miami, mengakui pengaruh Messi jauh melangkaui bola sepak.
“Messi membuatkan saya berkembang bukan sahaja sebagai pemain bola sepak, saya menjadi insan, atlet, bapa dan rakan yang lebih baik kerana dia. Dia seperti saudara saya kerana mempunyai jiwa yang sangat besar,” kata De Paul. – AGENSI
The post Messi akhiri karier antarabangsa appeared first on Kosmo Online.




