Mesyuarat DKU selesai, ada acara besar menanti - Peguam

LocalPolitics
5 Jun 2026 • 11:54 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mesyuarat DKU selesai, ada acara besar menanti - Peguam
Khairul Azam (kanan) yang mewakili Undang Luak Jelebu bercakap kepada pemberita di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin, Seremban pada Jumaat.

SEREMBAN - Meskipun berlaku sedikit kekecohan, namun Sidang Khas Mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin, di sini berlangsung seperti dijadualkan.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Peguam, Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Undang Luak Jelebu kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, mesyuarat tersebut bermula pada jam 9 pagi dan ditangguhkan pada jam 9.52 pagi.

Pada masa sama, Khairul Azam turut meminta pengamal media terus bersabar kerana akan diadakan satu acara besar lain, namun tidak memberi penjelasan lanjut.

"Mesyuarat DKU telah selesai diadakan tadi dan dipengerusikan oleh Datuk Undang Jelebu.

"Mesyuarat bermula pada jam 9 pagi dan ditangguhkan pada jam 9.52 pagi. Jadi untuk permulaan, itu dahulu yang dapat saya maklumkan.

"Proses seterusnya, sila tunggulah...perkara yang besar juga akan berlaku nanti apabila Tunku Besar Tampin kembali," katanya.

Selain itu beliau memberitahu, ahli DKU yang hadir ialah Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad; Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Besar Tampin Syed Razman Ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Datuk Seri Utama Badarudin Abdul Khalid.