Mesyuarat Exco tetap berjalan tanpa Umno-BN: Aminuddin

LocalPolitics
29 Apr 2026 • 4:30 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Mesyuarat Exco tetap berjalan tanpa Umno-BN: Aminuddin

KUALA LUMPUR - Mesyuarat Exco Negeri Sembilan berlangsung seperti biasa hari ini walau tanpa wakil Umno-BN yang meletak jawatan selepas 14 Adun parti itu menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Aminuddin yang kini mengetuai kerajaan minoriti berkata beliau hanya menunggu arahan lanjut daripada pucuk pimpinan parti, sambil menegaskan sokongan penuh Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

“Kita juga telah diminta untuk meneruskan mesyuarat hari ini. Perjalanan kerajaan hari ke hari berjalan seperti biasa.

Nasihat Tuanku teruskan mesyuarat selesaikan masalah rakyat negeri harus bergerak ke hadapan. Kita teruskan mesyuarat, kita tak nak ada masalah kepada rakyat.

Saya serahkan kepada perundangan, kepada Tuanku. Kalau dia kata kerajaan hari ini setakat ini, setakat ini. Saya diminta teruskan (tugas) oleh Perdana Menteri sehingga satu masa yang sesuai,” katanya kepada media selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Bilik Gerakan Negeri hari ini.

Krisis politik tercetus selepas 14 Adun Umno-BN menarik sokongan atas alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Aminuddin. Susulan itu, beliau mengumumkan kerajaan minoriti ditunjangi DAP dan Amanah.

Perikatan Nasional (PN) kemudian menyatakan kesediaan lima Adun mereka bekerjasama dengan BN, terdiri daripada tiga Adun PAS dan dua Adun Bersatu.

Aminuddin menegaskan mesyuarat hari ini tidak membincangkan isu pengisian empat jawatan exco yang kosong.

“Kita tak bincang hal-hal tentang penjawatan. Kekosongan empat exco masih tak bincangkan untuk pengisian untuk perkara selanjutnya.

Kita tunggu (apa) perkara mungkin berlaku dalam tempoh seminggu dua ini, dan saya juga telah maklumkan bahawa jawatan menteri besar ini masih bergantung kepada kuasa Tuanku,” katanya.

Mengulas spekulasi bahawa empat Adun BN lain akan mengisi jawatan Exco, Aminuddin berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenainya dan belum ada perbincangan dengan BN.

Ditanya mengenai dakwaan Umno bahawa krisis perlembagaan menjadi punca penarikan sokongan, Aminuddin menyifatkannya sekadar pandangan.

“Saya rasa itu pandangan mereka, sebab kita lihat bahawa ini institusi adat yang patutnya kerajaan negeri berkecuali, cuma kita boleh menasihati. Tapi kita ada had kita, sebab kuasa ini kuasa tentang adat tentang raja,” ujarnya.

Beliau menegaskan penyelesaian krisis diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

“Saya serahkan kepada mereka (pucuk pimpinan parti)…saya ikut arahan pusat,” jelasnya. - 29 April, 2026

The post Mesyuarat Exco tetap berjalan tanpa Umno-BN: Aminuddin appeared first on Scoop.