Poster Exco bayangan Negeri Sembilan palsu

LocalPolitics
28 Apr 2026 • 4:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Poster Exco bayangan Negeri Sembilan palsu
Kerajaan Negeri Sembilan menafikan poster senarai Exco bayangan yang akan mengisi kekosongan empat kerusi Exco UMNO-BN seperti yang tular pada Selasa.

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menafikan poster senarai Exco bayangan yang akan mengisi kekosongan empat kerusi Exco UMNO-Barisan Nasional (BN) seperti yang tular pada Selasa.

Menerusi hantaran di Facebook Datuk Seri Aminuddin Harun, dinyatakan bahawa perbuatan tersebut dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab yang bertujuan mencalarkan keharmonian di negeri ini.

“Wujud sebaran poster ini bagi mencalarkan imej kerajaan Negeri Sembilan. Mereka cuba memainkan sentimen perkauman.

“Ini adalah kerja pihak tidak bertanggungjawab yang mahu melihat keharmonian rakyat di Negeri Sembilan terjejas dengan sentimen perkauman,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon rakyat Negeri Sembilan supaya berwaspada terhadap sebarang berita atau poster palsu yang tersebar di platform media sosial.

“Semoga ALLAH SWT melindungi kita semua daripada fitnah akhir zaman,” katanya.

Dalam poster berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran, dinamakan sebagai Exco Pendidikan Modal Insan bagi menggantikan ADUN Seri Menanti, Datuk Ismail Lasim.

Selain itu, ADUN Chuah, Yew Boon Lye, pula akan memegang portfolio Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital bagi menggantikan ADUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli.

Bagi portfolio Exco Pembangunan Belia dan Sukan pula, ADUN Sri Tanjung, Datuk Dr G Rajasekaran, disenaraikan sebagai pengganti ADUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor.

Sementara itu, bagi portfolio Exco Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi serta Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup, Datuk Bakri Sawir akan menggantikan ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias.