
Meta AI kini boleh diakses secara langsung dalam aplikasi Threads di beberapa negara terpilih termasuk Malaysia.

Melaluinya, pengguna boleh bertanyakan pelbagai soalan kepada Meta AI dan menerima jawapan secara terus dalam Threads melalui kemas kini yang sama seakan bebenang. Untuk menggunakannya, pengguna boleh menaip “@Meta AI” dalam kemas kini perbualan untuk mengaktifkannya, dengan syarat akaun mestilah awam (public).

Integrasi ini menjadikan pengalaman berinteraksi di Threads lebih menarik serta memberi nilai tambah kepada pengguna yang aktif di platform tersebut. Buat masa ini, respons daripada Meta AI adalah dalam bentuk teks sahaja dan bersifat terbuka (public) yang bermakna sesiapa sahaja boleh melihatnya.

Selain itu, Meta AI turut tersedia di WhatsApp dan Instagram sekali gus memperkukuhkan lagi ekosistem komunikasi di bawah Meta agar lebih menyeluruh serta memudahkan pengguna mengakses kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai aplikasi harian.

