Cermin mata pintar dijangka menjadi trend perkakasan yang seterusnya dalam masa terdekat. Apple, Samsung, Google, Oppo dan Meta kesemuanya mempunyai perancangan masing-masing dengan demo telah diperlihatkan. Menurut laporan UploadVR, pada tahun 2026 Meta akan melancarkan set kepala ultra ringan dengan pelancaran Quest 4 pula ditangguh ke 2027.

Set kepala ultra ringan ini dipercayai sedang dibangunkan menggunakan nama kod Puffin. Ia kelihatan seperti cermin mata pintar yang lebih besar tetapi hanya seberat sekitar 100 gram. Ini dapat dilakukan kerana bateri serta kesemua perkakasan pemprosesan diletakkan dalam bekas berbeza yang disambungkan kepada Puffin menggunakan kabel. Meta sedang cuba mengecilkan saiz bekas ini supaya boleh disimpan dalam poket seperti bateri Vision Pro dan Project Orion.

Sistem operasi Horizon OS akan digunakan dengan Puffin boleh memaparkan aplikasi serentak dalam pelbagai tingkap secara maya. Ia akan dipasarkan untuk kegunaan produktiviti dan juga hiburan. Pelancaran Puffin perlu berjaya kerana pelaburan berbilion yang dilakukan oleh Meta ke dalam Reality Labs untuk mempopularkan dunia metamesta masih belum mendatangkan hasil.
Tumpuan Mark Zuckerberg kini telahpun berpindah ke kecerdasan buatan (AI) dan cermin mata Project Orion. Ini dibantu oleh jualan Ray-Ban Meta yang cukup memberangsangkan sejak dilancarkan berbanding Quest.
