Meta dan Snap, masing-masing kini dilaporkan bakal memperlihatkan kaca mata realiti-terimbuh generasi baharu mereka, pada bulan September 2024 ini. Pengenalan kaca mata pintar oleh kedua-dua syarikat teknologi ini dijangka akan memfokuskan penawaran teknologi terlebih dahulu, dan bukannya penjualan kepada umum dalam masa terdekat.

Pembangunan kaca mata Meta yang terbaru bukan lagi rahsia, dan telah diperkatakan beberapa kali sebelum ini. Dinamakan sebagai “Orion”, kaca mata pintar ini dijangka akan menjadi kaca mata pintar pertama dibawah Meta yang menawarkan pengalaman realiti-terimbuh menyeluruh sepenuhnya. Ia juga dijangka akan hadir diintegrasikan bersama-sama sokongan kecerdasan buatan Meta AI padanya – sekaligus memudahkan pengguna bertanyakan pelbagai persoalan dan menerima jawapan melalui sokongan kecerdasan buatan generatif.
Selain Meta, syarikat sebalik Snapchat turut dijangka perkenal kaca mata pintar generasi baharu mereka – seminggu sebelum pengenalan oleh Meta. Snap dijangka akan terus memperkenalkan integrasi teknologi baharu pada kaca mata pintar mereka, yang sedia diperkenalkan sebelum ini.

Dengan perkembangan ini, semestinya produk kedua-dua pihak ini akan mencuri perhatian ramai dalam arena kaca mata pintar pada bulan September 2024 ini. Sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut, dan melihat bagaimanakah teknologi ini akan terus maju ke hadapan, dan mengubah kaedah interaksi kita bersama alam digital.



